Home Birth : Kaedah Kelahiran Yang Membahayakan

Sesetengah ibu-ibu di Malaysia cenderung untuk mengamalkan satu kaedah yang dipanggil sebagai Home Birth, di mana ibu akan melahirkan anak di rumah secara semulajadi.

Mereka yang memilih kaedah homebirth, perlu tahu beberapa risiko yang boleh berlaku kepada anak mereka, walaupun ketika mengandung tidak ada risiko/tidak ada masalah.

Anak mereka mungkin akan buang air dalam rahim dan seterusnya tertelan najis dan berisiko untuk masuk paru-paru. Atau jika tidak buang air besar, dan air ketuban jernih, mungkin juga boleh lahir tidak menangis dan lembik, memberi tanda-tanda bahawa bayi memerlukan bantuan pernafasan.

Sebab itu, di sisi doktor bahagian kanak-kanak yang menerima kelahiran, kita akan membuat persediaan untuk sebarang kebarangkalian. Kita akan menyediakan alatan bantuan pernafasan, beg udara, alatan sedut meconium, tiub endotracheal, laryngoscope, bekalan oksigen dan pelbagai alatan lain, dan kita akan mempersiapkan untuk situasi yang terburuk berlaku. Jururawat, doktor pelatih dan doktor senior semua wajib mendapat latihan untuk ini.

Malah, bukan semua hospital mempunyai kelengkapan seperti itu. Sebab itu, sesetengah kes perlu dibawa ke hospital yang mempunyai kelengkapan yang lebih baik.

Persoalannya, jika lahir di rumah, mampukah kita membuat persediaan yang sama? Atau kita mahu tunggu bayi kita terus lemas, lembik, biru dan tak bernyawa lagi, baru kita ingin menyesal?

Ujian Kehamilan Boleh Mengesan Kanser Testis? Ini Jawapan Pakar

Sekitar tahun 2012, tersebar satu kisah di Amerika Syarikat bahawa seorang lelaki cuba berjenaka dengan mengambil ujian air kencing untuk kehamilan. Apa yang memeranjatkan, keputusan ujian yang diambil itu positif. Adakah lelaki itu mengandung?

Pertama sekali, kita harus mengetahui bagaimana ujian kehamilan melalui air kencing ini berfungsi. Ujian ini akan mengesan hormon Beta Human Chorionic Gonadotropin (BHCG), satu hormon yang akan terhasil dari placenta perempuan mengandung.

Hormon yang sama juga akan terhasil dari sesetengah jenis kanser testis.

Menurut Dr. Ted Gansler, wakil Pertubuhan Kanser Amerika, hanya segelintir pesakit kanser testis sahaja yang akan menghasilkan BHCG terlalu tinggi sehingga dapat dikesan melalui air kencing.

Ini bermaksud, buat masa ini, ujian air kencing kehamilan bukanlah cara terbaik untuk saringan kanser testis bagi lelaki, walaupun mungkin ianya boleh menunjukkan kesan positif. Malah, terdapat juga sebab-sebab lain yang boleh memberi keputusan positif bagi ujian kehamilan antaranya penyakit hati, atau sesetengah jenis ubat-ubatan.

Boleh jadi anda mempunyai kanser testis tetapi ujian kehamilan negatif, atau anda tidak ada kanser testis tetapi ujian kehamilan positif.

 

Ibu Syria Ini Dan Bayi Dalam Kandungan Terkena Serpihan Letupan, Berjaya Diselamatkan Oleh Para Doktor

Seorang wanita Syria yang sedang sarat mengandung terkena serpihan letupan dan bukan sekadar mencederakannya, tapi turut mengena bayinya yang di dalam kandungan.

Satu klip video menunjukkan sepasukan doktor telah menjalankan pembedahan mengeluarkan bayi tersebut (Caeserean Section). Ketika mereka membuka bahagian abdomen ibu tersebut, jelas kelihatan lubang bersaiz ibu jari di mana serpihan tersebut masuk. Sejurus setelah bayi dikeluarkan, terlihat secebis serpihan dari kesan letupan tertusuk di bahagian kiri keningnya.

Klip video tersebut dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Bandar Halab, sebuah badan sukarelawan perubatan di Syria.

Walaupun ibu dna bayi tersebut menghadapi pelbagai cabaran, dilaporkan bahawasanya mereka berada di dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di hospital.

Kredit: http://www.abc.net.au/news/2015-09-19/doctors-save-syrian-baby-wounded-in-utero-by-shrapnel/6788528

 

Berapakah jumlah minimum alkohol yang selamat untuk diminum, dari sudut kesihatan?

Berapakah jumlah minimum alkohol yang selamat untuk diminum?

Di negara kita, isu alkohol adalah isu sensitif. Setiap kali berbangkit isu ini, pasti ada golongan yang mempertahankan hak meminum alkohol dan menjustifikasikannya.

Kadangkala terdengar juga cakap-cakap bahawa kalau alkohol diminum dalam kadar yang sedikit, ia tidak merbahaya.

Jadi sebenarnya, berapakah kadar alkohol yang boleh diminum yang tidak memberi mudharat kepada kesihatan?

Mungkin jawapan ini tidak begitu suka didengari oleh mereka yang suka alkohol, tetapi hakikatnya, menurut World Health Organisation, bagi mendapatkan tahap kesihatan yang ideal, adalah dengan tidak langsung meminum alkohol.

 

image

Kajian telah menunjukkan bahawa alkohol boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, namun menurut WHO lagi, kesan buruknya jauh mengatasi kesan baik.

image

Malah di negara-negara barat, jumlah peminum alkohol semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

 

 

15% Pelajar Perubatan di UK Pernah Mempertimbangkan Bunuh Diri

Satu bancian yang dijalankan oleh Student British Medical Journal dan diterbitkan pada 1 September 2015 menunjukkan sebahagian pelajar-pelajar perubatan UK mempunyai masalah kesihatan mental yang kompleks.

Kajian yang telah dijalankan ke atas 1122 orang pelajar itu menunjukkan :

1) 15% pernah mempertimbangkan untuk membunuh diri di satu-satu episod pembelajaran mereka.

2) 80% daripada yang mempunyai masalah kesihatan mental pula bependapat mereka tidak mendapat sokongan yang cukup dari universiti mereka.

3) Lebih daripada 8% pula mengaku mengggunakan ubat perangsang otak untuk menghadapi peperiksaan.

Masalah kesihatan mental adalah masalah yang serius di kalangan pengamal perubatan. Menurut American Foundation for Suicide Prevention, kira-kira 400 doktor di Amerika mati akibat membunuh diri setiap tahun.

Persoalannya, berapakah pula jumlah doktor di Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental?

Kredit :
http://time.com/4019229/medical-school-suicide/

Jerebu, boleh menyebabkan keguguran dan sakit jantung?

 

Kita mungkin pernah dengar bahaya jerebu kepada pesakit paru-paru seperti asthma, atau menyebabkan sakit tekak, pedih mata dan batuk-batuk.

Tapi tahukah anda jerebu juga boleh memberi kesan bahaya jangka panjang kepada pesakit jantung, kencing manis dan ibu mengandung?

Menurut satu panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, partikel jerebu terlalu kecil, kebanyakannya kurang dari 2.5 micrometer dan boleh menyebabkan bahaya jangka panjang.

Partikel yang terlalu kecil ini, apabila disedut melalui pernafasan, akan mudah masuk ke dalam paru-paru, dan tidak berhenti di situ sahaja. Disebabkan ianya terlalu kecil, ianya mudah untuk diserap juga ke dalam saluran darah, berinteraksi dengan bahan dalam darah (contohnya kolesterol ‘jahat’) dan menyebabkan keradangan.

Maka sebab itu, antara kesan jangka panjang jerebu ini ialah :
1) Kadar ketebalan saluran arteri yang lebih cepat seterusnya menyebabkan penyakit jantung.
2) Menyumbang kepada penyakit diabetes (kencing manis).
3) Bagi ibu mengandung, ia boleh menyebabkan keguguran, kecacatan kandungan dan juga bayi kurang berat.

Maka, secara umum, jika tidak ada keperluan, adalah lebih baik untuk tinggal dalam rumah. Jika perlu, pakailah topeng N95 yang boleh menapis partikel jerebu. Minum banyak air, patuhi jadual pengambilan ubat dan berjumpalah doktor segera jika ada tanda-tanda sesak nafas, batuk-batuk, pedih mata dan sebagainya.

Dialog Doktor Bersama Ayah Anti-Vaksin

Pada suatu hari di wad neonatal.

Ayah pesakit x : Saya tak mahu vaksinkan anak saya.

Doktor : Kiranya encik ada kaedah alternatif ke?
Ayah pesakit x : Saya nak guna kaedah semulajadi, habbatussauda’, homeopati.
Doktor : Zaman saidina Umar, ada satu masa tu, beliau nak jumpa Abu Ubaidah di Syam. Tapi sebab waktu tu ada taun di Syam, Saidina Umar buat perjumpaan di luar Syam, tak mahu masuk ke Syam. Abu Ubaidah tanya, adakah engkau nak lari dari takdir? Saidina Umar kata, aku lari dari takdir Allah kepada takdir Allah yang lain.

Maksudnya kita bukan biar saja secara semulajadi semua berlaku. Kita ada peranan kita. Saidina Umar tahu ada penyakit, dia elak. Kita? Takdir Allah mana yg kita nak bawa anak kita?

Kenapa Saidina Umar tak guna je habbatussauda’ dan masuk saja terus ke Syam? Sahabat-sahabat mesti lebih faham tentang sunnah Nabi kan?
Ingat bang, sesuatu yang buruk yang kita mulakan, kalau diikuti pula oleh orang lain, kita pun akan dapat saham dosa juga.
…………

Menolak vaksin adalah sangat tidak Islamik. Islam suruh jaga kesihatan dan jangan membahayakan orang lain.

 

Lotus Birth, Kaedah Pelik Dan Bahaya Untuk Bayi Anda

image

LOTUS BIRTH

Baru-baru ni, admin ada terbaca pasal Lotus birth, iaitu sejenis kaedah di mana tali pusat dan uri tidak diputuskan daripada bayi. Kaedah ni sudah ada pengamalnya di Indonesia, mungkin sikit lagi akan mengambil tempat di Malaysia pulak. Alasan mereka yang mengamalkannya ialah agar tali pusat terputus semulajadi dan bayi akan dapat lebih nutrients daripada uri.

Lotus birth ni sudah ada sejak 2008 di negara barat, antaranya di UK. Royal College of Obstetrics and Gynaecology di UK sudah mengeluarkan kenyataan menentang pengamalan ini, di mana ianya hanya akan mendedahkan bayi kepada jangkitan, sepertimana kita maklum uri tersebut mengandungi darah dan juga tisu yang merupakan medium terbaik untuk bakteria hidup.

Bayi pula merupakan peringkat umur yang masih rendah tahap immunitinya dan sangat mudah terdedah dengan jangkitan, dan kalau terkena jangkitan, sangat mudah untuk ke peringkat jangkitan yang teruk.

Jadi kepada ibu-ibu di Malaysia, jangan nak mulakan kerja gila ni kalau anda sayangkan anak anda.

Aplikasi Denggi Berjaya Membawa Doktor Malaysia Ini Sambung Belajar Di NASA Research Park

Ramai yang mungkin tidak mengenali sosok tubuh ini, Dr Dhesi Raja, anak kelahiran Sabah yang berjiwa besar dan cuba memerangi Denggi yang melibatkan 22 kematian dan dilaporkan sebanyak 10,500 kes pada tahun 2013 di Malaysia sahaja.

Pun begitu, nama beliau tidak asing lagi dalam komuniti perubatan kerana beliau merupakan pengasas kepada laman The Malaysian Medical Gazette, satu laman web yang menyediakan maklumat perubatan yang ditulis oleh doktor dan pelajar perubatan berkisar tentang isu-isu kesihatan.

Beliau juga merupakan Presiden Malaysian Integrated Medical Professional Association (MIMPA) yang juga diasaskan oleh beliau sendiri memfokuskan misi-misi kemanusiaan, isu-isu perubatan dan mengumpulkan profesional dari pelbagai latar belakang termasuk peguam, ahli korporat, pakar IT dan lain-lain.

Dr Dhesi yang dijangkakan menamatkan pengajiannya di peringkat PhD dalam bidang Public Health dengan fokus dalam Informatik Kesihatan pada tahun 2016 ini tidak tahu makna berhenti dalam menyumbang kepada rakyat Malaysia.

Projek terbaru beliau, sebuah aplikasi yang mampu menjangka wabak denggi telah memenangi pertandingan Singularity University Global Impact 2015 dan beliau akan ke Singularity University yang diasaskan oleh duo teknologis, inovator dan futuris terkemuka dunia, Ray Kurzweil dan Peter Diamandis yang bertempat di NASA Research Ames Park, Silicon Valley selama 2 bulan untuk belajar dari inovator-inovator terbaik di dunia. Singularity University ditubuhkan pada tahun 2008, telah menempatkan, melahirkan dan melatih pemimpin-pemimpin teknologi dan futuris terkemuka di dunia dan melatih pemimpin visionari untuk menggunakan teknologi eksponensial (exponential technology) untuk menyelesaikan masalah-masalah besar yang dihadapi manusia di seluruh dunia. Beliau turut menerima biasiswa dari ECM Libra sepanjang keberadaan beliau di Silicon Valley.


Ray Kurzweil (kiri) dan Peter Diamandis (kanan) bersama pelajar-pelajar mereka di Singularity University


NASA Ames Research Park, Silicon Valley

Menurut beliau dalam temubual di dalam Whatsapp dengan saya, aplikasi ini akan membantu komuniti dan pihak berautoriti untuk menjangkakan wabak denggi seterusnya dan lokasi-lokasi wabak tersebut dalam masa sebulan lebih awal. Ini akan mengubah pendekatan yang reaktif terhadap kes-kes denggi kepada pendekatan yang proaktif.

Aplikasi ini menggunakan Big Data Analytics dan Bayesian Network dengan menjadikan data-data hujan, arah dan kelajuan angin, ribut, radiasi matahari (solar radiation), kes-kes denggi pada minggu pertama dan keempat, tapak pembinaan, ketumpatan penduduk, altitud, kelembapan dan rupa bentuk bumi sebagai pemboleh ubah.

Beliau bersama-sama Prof Ting dan Dr Peter Ho dari MMU yang mana kedua-duanya adalah pensyarah dalam bidang IT, membangunkan aplikasi yang bakal membasmi wabak denggi yang dilaporkan menyebabkan sebanyak 22 kematian dan 10,500 kes pada tahun 2013. Menurut beliau, ketepatan model yang digunakan beliau kini adalah pada 87-88%.


Sebelum ini beliau juga telah memainkan peranan penting di dalam sistem kesihatan negara. Beliau merupakan tonggak utama dalam mengimplikasikan sistem kelahiran atas talian di seluruh negara, iaitu I-Kelahiran, yang mana ia berfungsi menyusun dan menyimpan semua data-data berkenaan kelahiran, imunisasi dan juga keadaan ibu selepas melalui proses bersalin bagi tujuan mengurangkan kadar kematian bayi dan ibu.

Projek beliau ini telah diimplementasi di 21 buah hospital dan 292 klinik kesihatan di seluruh negara. Ini bermakna, jika anda menggunakan khidmat hospital kerajaan untuk tujuan bersalin, kemungkinan besar, anda telah menggunakan sistem yang diasaskan oleh Dr. Dhesi.

Oh ya, jangan terkejut selepas mengetahui umur doktor ini. Dengan semua pencapaian hebat ini, beliau sebenarnya belum pun mencecah umur 31 tahun! Masih muda lagi!

Hero ini seharusnya menjadi sumber inspirasi ramai rakyat Malaysia supaya menggembleng tenaga dalam membina negara yang lebih maju, aman dan makmur.

Kami di TheVocket ingin mengucapkan terima kasih, tahniah dan selamat berjaya kepada Dr. Dhesi. Moga apabila pulang ke Malaysia dari NASA Ames Research Park di Silicon Valley nanti, beliau turut membawa pulang bersama ilmu-ilmu yang berguna dan mampu memberi impak dlam bidang kesihatan pada skala yang lebih besar. Terima kasih, doktor!

Artikel ini turut saya kongsikan di laman web TheVocket.

LIKE dan FOLLOW RakanMedik di Facebook.