Vaksin Penyebab Bayi Berkepala Kecil di Brazil?

Seperti yang kita tahu, sekarang ini sedang menular wabak virus Zika di benua Amerika.

Apa itu virus Zika? Boleh ketahui lanjut dalam artikel kami sebelum ini di sini. 

Jangkitan virus Zika dikaitkan dengan kelahiran bayi berkepala kecil (microcephaly).

5dd08d320bc2dd6e38cf5fd3422c5c3b

Apa yang menarik, telah tersebar di media sosial bahawasanya microcephaly tersebut sebenarnya disebabkan oleh vaksin TDAP (tetanus, diphteria and pertussis) yang diperkenalkan di Brazil beberapa bulan sebelum tercetusnya kelahiran microcephaly secara mendadak.

Apakah perkara ini benar? Adakah bayi microcephaly di Brazil adalah disebabkan oleh vaksin TDAP?

Mari kita semak fakta satu persatu.

1) Dakwaan: TDAP sengaja diberikan kepada ibu mengandung.

Memang baru-baru ini, kerajaan Amerika Syarikat dan United Kingdom telah memperkenalkan vaksin TDAP kepada ibu-ibu mengandung. Ianya kemudian diikuti oleh Brazil.

Vaksin tersebut, malahan di Malaysia, mula diberikan kepada bayi berusia 2 bulan. Namun, oleh kerana merebaknya penyakit batuk kokol (whooping cough), dan bagi mengelakkan penyakit ini tersebar kepada bayi yang masih belum cukup umur 2 bulan, vaksin TDAP telah diperkenalkan kepada ibu mengandung untuk melindungi anak-anak mereka apabila dilahirkan kelak.

Malahan, menularnya wabak batuk kokol (berpunca dari virus Pertussis) yang sepatutnya boleh dielakkan dengan vaksin DTAP untuk bayi 2 bulan, adalah juga disebabkan oleh sikap sesetengah ibu bapa yang enggan memberikan vaksin kepada anak mereka.

2) Dakwaan: TDAP menyebabkan otak bayi tidak membesar secara sempurna.

Pertama sekali, tidak ada satu kajian kukuh yang boleh membuktikan kaitan kedua-dua perkara ini.

Kedua, vaksin TDAP telah digunakan di seluruh dunia, malahan sebelum diperkenalkan kepada ibu mengandung di Brazil, ianya telah diperkenalkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kenapakah tidak ada kejadian bayi microcephaly secara mendadak di tempat-tempat lain terutama di AS dan UK?

Ketiga, vaksin tersebut diperkenalkan di fasa akhir kehamilan iaitu minggu ke 27-36. Ketika ini, otak dan tengkorak bayi telah membesar dengan baik, jadi bagaimanakah vaksin yang diberikan pada lewat tempoh kehamilan boleh mengecutkan kembali otak bayi yang telah berkembang?

 

4 Perkara Anda Mesti Tahu Tentang Virus Zika

In this Dec. 23, 2015 photo, 10-year-old Elison nurses his 2-month-old brother Jose Wesley at their house in Poco Fundo, Pernambuco state, Brazil.  Suspicion of the link between microcephaly and the Zika virus arose after officials recorded 17 cases of central nervous system malformations among fetuses and newborns after a Zika outbreak began last year in French Polynesia, according to the European Center for Disease Prevention and Control. (AP Photo/Felipe Dana)
Bayi 2 bulan yang dilahirkan dengan keadaan microcephaly di sebuah perkampungan di Brazil.

1) Apakah virus Zika?

Zika ialah sejenis virus yang dibawa oleh nyamuk jenis Aedes. Jangkitan virus Zika telah menyebabkan wabak di Brazil dan negara-negara berdekatan pada tahun 2015 dan semakin berkembang sehingga kini.

Virus Zika menyebabkan demam, ruam, sakit sendi dan mata kemerah-merahan.

2) Bagaimanakah Zika boleh dirawat?

Setakat ini tidak ada penyembuh untuk penyakit ini. Ianya akan reda dalam seminggu dengan rehat dan air yang mencukupi.

3) Apakah yang bahaya tentang Zika?

Zika mempunyai risiko terhadap janin dan bayi dalam kandungan. Wabak Zika yang kian merebak di Brazil telah dikaitkan dengan kelahiran bayi berkepala kecil (microcephaly) yang turut meningkat dengan mendadak.

Walaupun pihak berkuasa masih belum boleh membuktikan kaitannya secara tepat, namun pihak berkuasa di Brazil menasihatkan wanita agar menangguhkan untuk mengandung sehinggalah wabak kembali reda.

Di El Savador misalnya, pihak berkuasa menasihatkan wanita agar tidak mengandung selama 2 tahun.

4) Apakah nasihat untuk wanita mengandung?

Sebolehnya agar tidak bermusafir ke negara-negara yang sedang mengalami wabak Zika seperti negara-negara Amerika Selatan dan Amerika Tengah.

Daging Diproses Punca Kanser-WHO

Adakah anda peminat sosej dan bakon? Mungkin selepas ini anda perlu menukar pilihan makanan anda.

Isnin baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO telah mengesahkan dalam satu laporan yang dikeluarkannya bahawa dgaing yang diproses seperti sosej dan bakon boleh menyebabkan kanser.

Laporan itu dikeluarkan oleh Agensi Antarabangsa Kajian Kanser yang telah mengumpulkan saintis seluruh dunia dan membincangkan perkara ini sejak setahun yang lepas.

Menurut Dr. Kait Straif, wakil agensi tersebut, risiko untuk mendapat kanser usus daripada memakan daging proses secara individunya adalah kecil, namun risiko ini semakin bertambah dengan pengambilan yang semakin meningkat.

 

Tidak Mahu Vaksin Polio? Cacat Kekal Mungkin Menanti Anak Anda.

Kita sedia maklum ada kalangan rakyat Malaysia yang tidak mahu ambil vaksin untuk anak mereka.

Dalam program imunisasi, antara vaksin yang diberikan ialah vaksin Polio. Malaysia sudah tidak ada lagi jangkitan virus Polio liar sejak berpuluh tahun, antara sebabnya ialah kerana usaha pemberian vaksin polio ini.

Tahukah anda virus Polio boleh menjangkiti saraf tunjang dan seterusnya melumpuhkan kaki? Otot kaki semakin lama semakin mengecil dan tidak berupaya untuk bergerak lagi.

Kesannya, kecacatan kekal. Adakah ada rawatan dan penyembuh? TIADA.

poliwho002

Di atas ini adalah gambar sekumpulan kanak-kanak Nigeria yang mengalami kecacatan kekal akibat Polio. Nigeria kini hampir berjaya menghapuskan Polio hasil usaha vaksinisasinya.

poliaap001

Di atas ini pula adalah gambar pesakit kanak-kanak yang mengalami Polio terpaksa menggunakan alat bantuan untuk mengembangkan paru-parunya, juga dikenali “paru-paru besi”.

Hindari kejahilan, jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab.

Ujian DNA Lelaki Ini Tak Sepadan Dengan Anaknya, Dan Ini Adalah Sebabnya Yang Pasti Memeranjatkan Anda.

Kisahya bermula apabila sepasang suami isteri di Amerika Syarikat mempunyai kepayahan dalam mendapatkan anak kedua mereka. Bagi mengatasi masalah ini, mereka pergi mendapatkan rawatan di klinik kesuburan.

Dengan kaedah intrauterine insemination (memasukkan air mani lelaki ke dalam rahim wanita) hasilnya isterinya selamat mengandungkan dan melahirkan seorang bayi.

Namun mereka merasa hairan apabila darah anak mereka tidak sepadan dengan darah mereka. Mereka berdua mempunyai kumpulan darah A, manakala anaknya AB. Pada awalnya mereka beranggapan pihak klinik telah mencampurkan air mani yang salah, namun setelah disiasat, tidak berlaku sebegitu.

Lalu mereka mengambil keputusan untuk membuat siasatan lanjut dengan membuat ujian DNA. Dua sampel DNA telah diambil daripada lelaki tersebut, satu daripada bahagian dalam mulutnya, satu lagi daripada spermanya. Lalu dipadankan dengan DNA anaknya.

Alangkah terperanjatnya apabila didapati DNA daripada mulut lelaki itu dengan DNA daripada spermanya tidak sama. Tetapi DNA daripada spermanya sepadan dengan DNA anaknya.

Ini membuktikan bahawa lelaki tersebut mempunyai dua set DNA berbeza, di mana fenomena ini dipanggil sebagai Chimera. Pada kebiasaannya, seseorang individu mempunyai satu sahaja set DNA dan ianya tetap sama walaupun diambil daripada bahagian tubuh badan yang berbeza. Namun lelaki ini mempunyai dua set DNA berbeza, dan hanya salah satu sahaja set DNA yang diwariskan kepada anaknya.

Bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku kepada lelaki tersebut? Ketika lelaki itu masih lagi dalam kandungan ibunya, dia mempunyai kembar. Namun, kembarnya itu mati ketika masih dalam bentuk gumpalan sel lalu sel-sel itu diserap ke dalam lelaki tersebut termasuklah DNA nya. Maka secara bahasa yang lebih mudah, lelaki itu adalah gabungan dua individu, dirinya dan kembarnya yang telah mati sebelum dilahirkan.

 

Sumber: iflscience

8 Perkara Yang Mempengaruhi Mimpi Anda

Adakah mimpi mempunyai kaitan dengan fisiologi tubuh badan kita atau sekadar terjadi secara spontan? Ketahui 8 faktor yang boleh mempengaruhi mimpi anda.

1) Kedudukan

Tidur di sebelah kanan lebih memberi keselesaan dan membuatkan kita lebih berfungsi dengan baik selepas jaga.

Manakala tidur di sebelah kiri akan lebih mudah mendapat mimpi ngeri dan mimpi pelik.

 

2) Bau

Bau yang busuk akan memberi kita mimpi ngeri manakala bau yang baik dan wangi akan memberikan kita mimpi yang indah.

 

3) Bunyi

Otak tetap akan menafsirkan bunyi walaupun ketika tidur. Sebab itu lagu yang terpasang ketika tidur turut boleh memasuki mimpi.

 

4) Penghapusan

Sesuatu yang kita semakin cuba hapuskan daripada minda, maka perkara itu akan semakin mempengaruhi mimpi kita. Maka jangan terkejut jika sesuatu yang kita tidak suka seperti majikan, tugasan kerja atau masalah-masalah harian akan menghantui kita ketika kita pejamkan mata.

 

5) Ubat-ubatan

Vitamin B6 akan menjadikan mimpi lebih mudah diingati dan lebih nampak seperti kehidupan sebenar. Ini kerana ia menukar asid amino kepada serotonin yang merangsang otak ketika kitaran REM. Ubatan lain yang menghasilkan mimpi realistik dan pelik antaranya ialah ubat tidur dan anti-malaria.

 

6) Permainan video

Kajian menyatakan bahawa pemain permainan video lebih mampu untuk mengawal watak di dalam mimpi.

 

7) Kitaran Circadian

Mereka yang tidur lewat akan lebih mudah mengalami mimpi buruk. Ini kerana kitaran Circadian mereka terganggu. Malah mereka lebih mudah mengalami kemurungan dan kerisauan yang menyebabkan mereka mengalami mimpi pelik dan buruk.

 

8) Aktiviti Magnetik Bumi

Kajian telah dilakukan di utara Norway ketika musim sejuk, di mana Aurora sedang berlaku hasil dari meningkatnya aktiviti magnetik bumi ketika itu. Ia menunjukan melatonin, hormon manusia yang berfungsi untuk mengawal Kitaran Circadian (kitaran jam biologi manusia) berkurang. Maka disimpulkan bahawa semakin kurangnya aktiviti magnetik bumi, semakin tinggi kebarangkalian mengalami mimpi pelik.

 

 

Kredit: Healthcentral

6 Fakta Tentang Demam Kepialu Yang Anda Perlu Tahu

Apa itu demam kepialu?

Dalam bahasa inggeris lebih dikenali sebagai Typhoid fever, adalah sejenis penyakit jangkitan kuman yang melibatkan pelbagai sistem tubuh badan, berpunca dari bakteria Salmonella Typhii.

 

Apakah sebab terjadinya demam kepialu?

Demam kepialu adalah disebabkan jangkitan oleh bakteria Salmonella Typhii yang terdapat di dalam makanan dan minuman. Bakteria ini berada di dalam sistem penghadaman pembawa bakteria yang seterusnya dibawa keluar melalui najis. Ianya mudah tersebar apabila pembawa bakteria yang juga pengendali makanan tidak mengamalkan kaedah basuh tangan yang bersih atau mengambil bekalan air minuman dari sumber air yang tercemar.

 

Apakah tanda-tanda terkena jangkitan demam kepialu?

Tanda-tanda jangkitan akan bermula kira-kira satu ke dua minggu selepas bakteria memasuki badan.

Minggu pertama :

Demam, sakit perut memulas, sembelit, sakit kepala, batuk kering dan juga keletihan. Pada akhir minggu, ruam bintik-bintik kemerahan akan muncul di badan.

Minggu kedua :

Tanda-tanda pada minggu pertama menjadi semakin kuat. Saiz perut membesar dan buncit.

Minggu ketiga :

Gejala semakin teruk dan saluran pemakanan mungkin boleh berlubang dan berdarah. Status mental pesakit akan terjejas, menjadi mudah keliru dan mendapat serangan psikosis. Ketika ini, penyakit ini boleh membawa maut.

Minggu keempat :

Jika pesakit masih hidup, tanda-tanda penyakit akan semakin pulih, namun pesakit akan menjadi pembawa kronik bakteria yang boleh menyebarkan penyakit kepada orang lain pula.

 

Bolehkah demam kepialu membawa maut?

Jika tidak dirawat, statistik menunjukkan risiko kematian adalah sebanyak 10-30%.

 

Bagaimanakah demam kepialu dirawat?

Demam kepialu dirawat dengan memberikan antibiotik kepada pesakit dan juga memastikan pesakit mendapat air dan electrolytes yang mencukupi. Selalunya pesakit memerlukan rawatan di hospital selama seminggu.

 

Apakah langkah pencegahan yang perlu dilakukan?

Sebagai orang awam, pilihlah tempat makan yang bersih dan bukan di kawasan yang dikenali tersebarnya penyakit demam kepialu. Makanan yang panas dan baru dimasak perlu menjadi keutamaan.

Sebagai pengendali makanan, pastikan anda mengamalkan kaedah basuh tangan yang betul. Pastikan pekerja-pekerja anda mematuhi dan mengamalkan kebersihan tangan yang sepatutnya.

Kacamata Pinhole : Rawatan Untuk Rabun?

Sejak beberapa tahun ini, terdapat satu produk kacamata di pasaran yang dikenali sebagai kacamata pinholes, didakwa dapat memperbaiki pandangan mata yang bermasalah.

Kaca mata legap yang mempunyai lubang-lubang kecil ini sebenarnya telah berada di pasaran negara barat sejak tahun 90-an lagi.

Realitinya, kacamata ini bukanlah satu kaedah rawatan yang betul untuk memperbaiki rabun atau masalah mata. Bila dipakai, ianya mungin akan memberi kelegaan sementara, namun apabila ditanggalkan, tidak ada kesan berpanjangan terhadap mata.

Tidak ada satu pun kajian saintifik yang membuktikan keberkesanan kacamata ini seperti didakwa oleh syarikat yang menjual. Malah, satu kajian yang dilakukan di Korea Selatan pada tahun 2014 menunjukkan bahawa penggunaan kacamata ini akan mengurangkan kualiti visual dan membahayakan pengguna ketika aktiviti memandu, bersukan dan aktiviti luar kerana menjadikan pemandangan kita terhad.

Kesimpulannya, kacamata pinhole ini bukanlah rawatan yang betul untuk masalah mata dan tidak pernah disarankan oleh optometrist mahupun ophthalmologist.

Rujukan :

  1. http://www.independent.co.uk/life-style/health-and-families/health-news/the-truth-about-pinhole-glasses-1253113.html
  2. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/25118263
  3. http://articles.sun-sentinel.com/1991-12-11/news/9102210360_1_pinhole-glasses-laser-vision

Vaksin Agenda Yahudi? Tapi….

Antara hujah popular golongan anti-vaksin ialah vaksin merupakan agenda Yahudi untuk merosakkan umat Islam.

Sebelum mengeluarkan kenyataan ini, adakah anda tahu, Israel, sebuah kerajaan Yahudi, mewajibkan vaksin kepada penduduknya? Malah kadar populasi kanak-kanak yang menerima vaksin di Israel adalah antara yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 95%.

Baru-baru ini juga, ada gerakan dari ahli politik Israel untuk menetapkan kanak-kanak tidak akan mendapat bantuan elaun jika tidak menerima vaksin.

Sila baca: http://www.timesofisrael.com/state-to-anti-vaxxers-no-vaccination-no-child-support/

IMG_20151009_074229

Adakah Israel mahu merosakkan bangsanya sendiri?

Sama-sama kita fikirkan.

Pertussis (Batuk Kokol) : Video 11 Saat Golongan Anti-Vaksin Tidak Mahu Tunjukkan Kepada Anda.

Pertussis (batuk kokol) adalah satu penyakit berbahaya yang menjangkiti kanak-kanak.

Dengan penciptaan vaksin, penyakit ini hampir pupus pada zaman moden ini. Pertussis boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, tisu otak dan juga sawan. Malah, ianya juga boleh membawa maut. Keadaan pesakit yang batuk terlalu teruk dan berpanjangan boleh menyebabkan otak tidak dapat menerima oksigen yang mencukupi.

Terima kasih kepada golongan anti-vaksin, jumlah kes Pertussis kini semakin meningkat di Malaysia. Tanyalah kepada mana-mana doktor kanak-kanak di hospital, kes Pertussis yang mereka tidak pernah lihat sejak sekian lama, kini diakui semakin bertambah, pasti ada saja pesakit Pertussis di mana-mana hospital.

Di bawah ini adalah video 11 saat seorang kanak-kanak yang dijangkiti Pertussis. Cuba bayangkan ini adalah anak anda atau saudara-mara anda. Apakah perasaan anda? Adakah anda sanggup melihat penderitaan mereka?