Mitos Perubatan: Ulat Resdung

1) Adakah ulat resdung itu wujud?

Ulat resdung atau ulat jerawat tidak wujud. Jerawat dan resdung tidak ada kena mengena dengan ulat. Ulat dalam hidung yang kita lihat dalam video di internet adalah parasit yang hidup hasil dari jangkitan lalat, yang dikenali sebagai botfly (species ini tidak wujud di Malaysia). Lalat ini akan memasukkan larvanya (telur) ke dalam hidung kita dan seterusnya akan bertukar menjadi ulat (maggots). Situasi ini berlaku ke atas orang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah (immunocompromised). Ini adalah satu penyakit lain yang tidak ada kena mengena dengan resdung.

2) Kalau tak wujud, kenapa hidung gatal?

Gatal kerana itu adalah tindakbalas sistem pertahanan badan kita. Resdung selalunya disebabkan oleh alahan (allergic rhinitis), jadi sistem pertahanan badan kita terlebih bertindak kepada perkara yang tidak mendatangkan bahaya pun, habuk misalnya. Jadi antara kesan tindak balas yang berlebihan ini ialah gatal-gatal.

3) Kenapa bila resdung, hidung kita akan tersumbat dan mengeluarkan cecair jernih?

Hidung tersumbat sebab saluran darah keliling hidung berkembang, jadi banyak cecair ditapis keluar dari saluran darah dan seterusnya menyebabkan tisu keliling hidung berkembang, lalu menutup saluran lubang hidung.

4) Apakah rawatan bagi resdung?

Selalunya Allergic Rhinitis akan reda jika kita makan ubat anti-histamine, paracetamol dan decongestant (pseudoepiphedrine). Alahan tak boleh diubati, maksudnya alahan tetap akan ada, cumanya apa yang kita mampu buat ialah mengurangkan kesannya.

Oleh kerana istilah resdung agak umum, maka adakalanya resdung juga boleh difahami sebagai Sinusitis, iaitu jangkitan pada rongga yang ada dalam tengkorak (Sinus). Antara tanda-tandanya ialah sakit kepala, demam, berhingus dan selsema. Jika perlu, doktor akan memberikan antibiotik sebagai ubat tambahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.