Berapakah jumlah minimum alkohol yang selamat untuk diminum, dari sudut kesihatan?

Berapakah jumlah minimum alkohol yang selamat untuk diminum?

Di negara kita, isu alkohol adalah isu sensitif. Setiap kali berbangkit isu ini, pasti ada golongan yang mempertahankan hak meminum alkohol dan menjustifikasikannya.

Kadangkala terdengar juga cakap-cakap bahawa kalau alkohol diminum dalam kadar yang sedikit, ia tidak merbahaya.

Jadi sebenarnya, berapakah kadar alkohol yang boleh diminum yang tidak memberi mudharat kepada kesihatan?

Mungkin jawapan ini tidak begitu suka didengari oleh mereka yang suka alkohol, tetapi hakikatnya, menurut World Health Organisation, bagi mendapatkan tahap kesihatan yang ideal, adalah dengan tidak langsung meminum alkohol.

 

image

Kajian telah menunjukkan bahawa alkohol boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, namun menurut WHO lagi, kesan buruknya jauh mengatasi kesan baik.

image

Malah di negara-negara barat, jumlah peminum alkohol semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

 

 

15% Pelajar Perubatan di UK Pernah Mempertimbangkan Bunuh Diri

Satu bancian yang dijalankan oleh Student British Medical Journal dan diterbitkan pada 1 September 2015 menunjukkan sebahagian pelajar-pelajar perubatan UK mempunyai masalah kesihatan mental yang kompleks.

Kajian yang telah dijalankan ke atas 1122 orang pelajar itu menunjukkan :

1) 15% pernah mempertimbangkan untuk membunuh diri di satu-satu episod pembelajaran mereka.

2) 80% daripada yang mempunyai masalah kesihatan mental pula bependapat mereka tidak mendapat sokongan yang cukup dari universiti mereka.

3) Lebih daripada 8% pula mengaku mengggunakan ubat perangsang otak untuk menghadapi peperiksaan.

Masalah kesihatan mental adalah masalah yang serius di kalangan pengamal perubatan. Menurut American Foundation for Suicide Prevention, kira-kira 400 doktor di Amerika mati akibat membunuh diri setiap tahun.

Persoalannya, berapakah pula jumlah doktor di Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental?

Kredit :
http://time.com/4019229/medical-school-suicide/

Jerebu, boleh menyebabkan keguguran dan sakit jantung?

 

Kita mungkin pernah dengar bahaya jerebu kepada pesakit paru-paru seperti asthma, atau menyebabkan sakit tekak, pedih mata dan batuk-batuk.

Tapi tahukah anda jerebu juga boleh memberi kesan bahaya jangka panjang kepada pesakit jantung, kencing manis dan ibu mengandung?

Menurut satu panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, partikel jerebu terlalu kecil, kebanyakannya kurang dari 2.5 micrometer dan boleh menyebabkan bahaya jangka panjang.

Partikel yang terlalu kecil ini, apabila disedut melalui pernafasan, akan mudah masuk ke dalam paru-paru, dan tidak berhenti di situ sahaja. Disebabkan ianya terlalu kecil, ianya mudah untuk diserap juga ke dalam saluran darah, berinteraksi dengan bahan dalam darah (contohnya kolesterol ‘jahat’) dan menyebabkan keradangan.

Maka sebab itu, antara kesan jangka panjang jerebu ini ialah :
1) Kadar ketebalan saluran arteri yang lebih cepat seterusnya menyebabkan penyakit jantung.
2) Menyumbang kepada penyakit diabetes (kencing manis).
3) Bagi ibu mengandung, ia boleh menyebabkan keguguran, kecacatan kandungan dan juga bayi kurang berat.

Maka, secara umum, jika tidak ada keperluan, adalah lebih baik untuk tinggal dalam rumah. Jika perlu, pakailah topeng N95 yang boleh menapis partikel jerebu. Minum banyak air, patuhi jadual pengambilan ubat dan berjumpalah doktor segera jika ada tanda-tanda sesak nafas, batuk-batuk, pedih mata dan sebagainya.

Dialog Doktor Bersama Ayah Anti-Vaksin

Pada suatu hari di wad neonatal.

Ayah pesakit x : Saya tak mahu vaksinkan anak saya.

Doktor : Kiranya encik ada kaedah alternatif ke?
Ayah pesakit x : Saya nak guna kaedah semulajadi, habbatussauda’, homeopati.
Doktor : Zaman saidina Umar, ada satu masa tu, beliau nak jumpa Abu Ubaidah di Syam. Tapi sebab waktu tu ada taun di Syam, Saidina Umar buat perjumpaan di luar Syam, tak mahu masuk ke Syam. Abu Ubaidah tanya, adakah engkau nak lari dari takdir? Saidina Umar kata, aku lari dari takdir Allah kepada takdir Allah yang lain.

Maksudnya kita bukan biar saja secara semulajadi semua berlaku. Kita ada peranan kita. Saidina Umar tahu ada penyakit, dia elak. Kita? Takdir Allah mana yg kita nak bawa anak kita?

Kenapa Saidina Umar tak guna je habbatussauda’ dan masuk saja terus ke Syam? Sahabat-sahabat mesti lebih faham tentang sunnah Nabi kan?
Ingat bang, sesuatu yang buruk yang kita mulakan, kalau diikuti pula oleh orang lain, kita pun akan dapat saham dosa juga.
…………

Menolak vaksin adalah sangat tidak Islamik. Islam suruh jaga kesihatan dan jangan membahayakan orang lain.

 

Lotus Birth, Kaedah Pelik Dan Bahaya Untuk Bayi Anda

image

LOTUS BIRTH

Baru-baru ni, admin ada terbaca pasal Lotus birth, iaitu sejenis kaedah di mana tali pusat dan uri tidak diputuskan daripada bayi. Kaedah ni sudah ada pengamalnya di Indonesia, mungkin sikit lagi akan mengambil tempat di Malaysia pulak. Alasan mereka yang mengamalkannya ialah agar tali pusat terputus semulajadi dan bayi akan dapat lebih nutrients daripada uri.

Lotus birth ni sudah ada sejak 2008 di negara barat, antaranya di UK. Royal College of Obstetrics and Gynaecology di UK sudah mengeluarkan kenyataan menentang pengamalan ini, di mana ianya hanya akan mendedahkan bayi kepada jangkitan, sepertimana kita maklum uri tersebut mengandungi darah dan juga tisu yang merupakan medium terbaik untuk bakteria hidup.

Bayi pula merupakan peringkat umur yang masih rendah tahap immunitinya dan sangat mudah terdedah dengan jangkitan, dan kalau terkena jangkitan, sangat mudah untuk ke peringkat jangkitan yang teruk.

Jadi kepada ibu-ibu di Malaysia, jangan nak mulakan kerja gila ni kalau anda sayangkan anak anda.

Aplikasi Denggi Berjaya Membawa Doktor Malaysia Ini Sambung Belajar Di NASA Research Park

Ramai yang mungkin tidak mengenali sosok tubuh ini, Dr Dhesi Raja, anak kelahiran Sabah yang berjiwa besar dan cuba memerangi Denggi yang melibatkan 22 kematian dan dilaporkan sebanyak 10,500 kes pada tahun 2013 di Malaysia sahaja.

Pun begitu, nama beliau tidak asing lagi dalam komuniti perubatan kerana beliau merupakan pengasas kepada laman The Malaysian Medical Gazette, satu laman web yang menyediakan maklumat perubatan yang ditulis oleh doktor dan pelajar perubatan berkisar tentang isu-isu kesihatan.

Beliau juga merupakan Presiden Malaysian Integrated Medical Professional Association (MIMPA) yang juga diasaskan oleh beliau sendiri memfokuskan misi-misi kemanusiaan, isu-isu perubatan dan mengumpulkan profesional dari pelbagai latar belakang termasuk peguam, ahli korporat, pakar IT dan lain-lain.

Dr Dhesi yang dijangkakan menamatkan pengajiannya di peringkat PhD dalam bidang Public Health dengan fokus dalam Informatik Kesihatan pada tahun 2016 ini tidak tahu makna berhenti dalam menyumbang kepada rakyat Malaysia.

Projek terbaru beliau, sebuah aplikasi yang mampu menjangka wabak denggi telah memenangi pertandingan Singularity University Global Impact 2015 dan beliau akan ke Singularity University yang diasaskan oleh duo teknologis, inovator dan futuris terkemuka dunia, Ray Kurzweil dan Peter Diamandis yang bertempat di NASA Research Ames Park, Silicon Valley selama 2 bulan untuk belajar dari inovator-inovator terbaik di dunia. Singularity University ditubuhkan pada tahun 2008, telah menempatkan, melahirkan dan melatih pemimpin-pemimpin teknologi dan futuris terkemuka di dunia dan melatih pemimpin visionari untuk menggunakan teknologi eksponensial (exponential technology) untuk menyelesaikan masalah-masalah besar yang dihadapi manusia di seluruh dunia. Beliau turut menerima biasiswa dari ECM Libra sepanjang keberadaan beliau di Silicon Valley.


Ray Kurzweil (kiri) dan Peter Diamandis (kanan) bersama pelajar-pelajar mereka di Singularity University


NASA Ames Research Park, Silicon Valley

Menurut beliau dalam temubual di dalam Whatsapp dengan saya, aplikasi ini akan membantu komuniti dan pihak berautoriti untuk menjangkakan wabak denggi seterusnya dan lokasi-lokasi wabak tersebut dalam masa sebulan lebih awal. Ini akan mengubah pendekatan yang reaktif terhadap kes-kes denggi kepada pendekatan yang proaktif.

Aplikasi ini menggunakan Big Data Analytics dan Bayesian Network dengan menjadikan data-data hujan, arah dan kelajuan angin, ribut, radiasi matahari (solar radiation), kes-kes denggi pada minggu pertama dan keempat, tapak pembinaan, ketumpatan penduduk, altitud, kelembapan dan rupa bentuk bumi sebagai pemboleh ubah.

Beliau bersama-sama Prof Ting dan Dr Peter Ho dari MMU yang mana kedua-duanya adalah pensyarah dalam bidang IT, membangunkan aplikasi yang bakal membasmi wabak denggi yang dilaporkan menyebabkan sebanyak 22 kematian dan 10,500 kes pada tahun 2013. Menurut beliau, ketepatan model yang digunakan beliau kini adalah pada 87-88%.


Sebelum ini beliau juga telah memainkan peranan penting di dalam sistem kesihatan negara. Beliau merupakan tonggak utama dalam mengimplikasikan sistem kelahiran atas talian di seluruh negara, iaitu I-Kelahiran, yang mana ia berfungsi menyusun dan menyimpan semua data-data berkenaan kelahiran, imunisasi dan juga keadaan ibu selepas melalui proses bersalin bagi tujuan mengurangkan kadar kematian bayi dan ibu.

Projek beliau ini telah diimplementasi di 21 buah hospital dan 292 klinik kesihatan di seluruh negara. Ini bermakna, jika anda menggunakan khidmat hospital kerajaan untuk tujuan bersalin, kemungkinan besar, anda telah menggunakan sistem yang diasaskan oleh Dr. Dhesi.

Oh ya, jangan terkejut selepas mengetahui umur doktor ini. Dengan semua pencapaian hebat ini, beliau sebenarnya belum pun mencecah umur 31 tahun! Masih muda lagi!

Hero ini seharusnya menjadi sumber inspirasi ramai rakyat Malaysia supaya menggembleng tenaga dalam membina negara yang lebih maju, aman dan makmur.

Kami di TheVocket ingin mengucapkan terima kasih, tahniah dan selamat berjaya kepada Dr. Dhesi. Moga apabila pulang ke Malaysia dari NASA Ames Research Park di Silicon Valley nanti, beliau turut membawa pulang bersama ilmu-ilmu yang berguna dan mampu memberi impak dlam bidang kesihatan pada skala yang lebih besar. Terima kasih, doktor!

Artikel ini turut saya kongsikan di laman web TheVocket.

LIKE dan FOLLOW RakanMedik di Facebook.

Mitos Perubatan: Ulat Resdung

1) Adakah ulat resdung itu wujud?

Ulat resdung atau ulat jerawat tidak wujud. Jerawat dan resdung tidak ada kena mengena dengan ulat. Ulat dalam hidung yang kita lihat dalam video di internet adalah parasit yang hidup hasil dari jangkitan lalat, yang dikenali sebagai botfly (species ini tidak wujud di Malaysia). Lalat ini akan memasukkan larvanya (telur) ke dalam hidung kita dan seterusnya akan bertukar menjadi ulat (maggots). Situasi ini berlaku ke atas orang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah (immunocompromised). Ini adalah satu penyakit lain yang tidak ada kena mengena dengan resdung.

2) Kalau tak wujud, kenapa hidung gatal?

Gatal kerana itu adalah tindakbalas sistem pertahanan badan kita. Resdung selalunya disebabkan oleh alahan (allergic rhinitis), jadi sistem pertahanan badan kita terlebih bertindak kepada perkara yang tidak mendatangkan bahaya pun, habuk misalnya. Jadi antara kesan tindak balas yang berlebihan ini ialah gatal-gatal.

3) Kenapa bila resdung, hidung kita akan tersumbat dan mengeluarkan cecair jernih?

Hidung tersumbat sebab saluran darah keliling hidung berkembang, jadi banyak cecair ditapis keluar dari saluran darah dan seterusnya menyebabkan tisu keliling hidung berkembang, lalu menutup saluran lubang hidung.

4) Apakah rawatan bagi resdung?

Selalunya Allergic Rhinitis akan reda jika kita makan ubat anti-histamine, paracetamol dan decongestant (pseudoepiphedrine). Alahan tak boleh diubati, maksudnya alahan tetap akan ada, cumanya apa yang kita mampu buat ialah mengurangkan kesannya.

Oleh kerana istilah resdung agak umum, maka adakalanya resdung juga boleh difahami sebagai Sinusitis, iaitu jangkitan pada rongga yang ada dalam tengkorak (Sinus). Antara tanda-tandanya ialah sakit kepala, demam, berhingus dan selsema. Jika perlu, doktor akan memberikan antibiotik sebagai ubat tambahan.

6 Soalan “Kenapa…” Tentang Tubuh Kita Ketika Sejuk, Dan Ini Jawapannya

1) Kenapa kita menggeletar ketika sejuk?
Pergerakan otot yang berulang-ulang ketika menggeletar akan menghasilkan tenaga, dan tenaga itu seterusnya akan ditukar kepada haba. Haba ini akan menghangatkan tubuh badan kita.

2) Kenapa bulu roma kita tegak ketika sejuk?
Bulu roma yang menegak akan memerangkap udara yang berada di atas lapisan kulit dan seterusnya akan menjadi penebat haba bagi kulit kita.

3) Kenapa kita lebih selesa berpeluk tubuh ketika sejuk?
Secara semulajadi, manusia yang kesejukan akan berpeluk tubuh atau meringkuk. Apabila kita berpeluk tubuh atau meringkukkan badan, keluasan permukaan badan kita yang terdedah akan berkurang, seterusnya akan mengurangkan pengeluaran haba dari badan kita.

4) Kenapa kita lebih kerap mahu buang air kecil ketika sejuk?
Salur darah pada permukaan tubuh badan kita akan lebih mengecut. Darah adalah agen pembawa haba dalam tubuh badan kita. Apabila salur darah dikurangkan dari pergi ke permukaan tubuh, maka kuranglah haba yang terlepas dari kulit kita. Maka, lebih banyak haba yang akan disimpan di dalam badan. Walaubagaimanapun, harus diketahui bahawa isipadu darah dalam badan manusia adalah tetap. Justeru, apabila salur darah pada permukaan dikecutkan, ini bermakna kuranglah ruang bagi darah dalam badan kita. Disebabkan itu, darah lebih banyak pergi ke organ-organ dalaman penting yang lain serta lebihannya perlu dikeluarkan melalui ginjal dan terhasillah air kencing.

5) Kenapa kita lebih cepat lapar ketika sejuk?
Ini adalah kerana tubuh badan memerlukan haba. Haba dihasilkan apabila cukup tenaga. Tenaga pula dihasilkan daripada makanan yang kita ambil.

6) Kenapa kulit kita lebih kering ketika sejuk?
Udara persekitaran kita pada musim sejuk (atau dalam penghawa dingin) adalah lebih kering dari biasa. Maka, secara normalnya, air yang berada di permukaan kulit kita akan tersejat ke udara kerana tekanan yang berlaku.

7 Soal Jawab Tentang Paracetamol Yang Anda Perlu Tahu

7 soal jawab tentang paracetamol yang anda perlu tahu:

1) Apakah itu paracetamol?
Paracetamol adalah sejenis ubat tahan sakit dan meredakan demam, juga dikenali sebagai acetaminophen di sesetengah negara seperti Amerika Syarikat dan Canada.

2) Di manakah ianya boleh didapati?
Oleh kerana ianya adalah antara ubat yang selamat, ianya boleh didapati di kaunter farmasi (over the counter) dan sesetengah kedai runcit di Malaysia, dan sangat terkenal dengan nama komersialnya, Panadol.

3) Berapakah dos maksimum yang boleh diambil?
Bagi dewasa, maksimum sekali ambil adalah sebanyak 1g, empat kali sehari.

4) Benarkah paracetamol boleh menyebabkan kerosakan hati?
Sememangnya salah satu kesan paracetamol ialah boleh merosakkan hati. Namun, organ hati ini hanya rosak kalau seseorang yang normal menelan melebihi dos dan secara berpanjangan. Atau dia mengambil 10g (20 pil) pada satu-satu masa.

Manakala bagi sesetengah golongan seperti yang selalu ambil alkohol (minum arak) atau yang mengambil ubat seperti rifampicin (rawatan TB) atau carbamazepine (rawatan sawan) atau ubat-ubatan lain yang meningkatkan enzyme hati, maka jumlah paracetamol yang akan merosakkan hati mereka ialah 5g (10 pil) pada satu-satu masa.
Secara logiknya, pada penggunaan biasa, kita takkan menelan pil paracetamol sehingga sebanyak itu. Kebiasaannya mereka yang menelan pil paracetamol sebanyak itu adalah dalam kes cubaan bunuh diri.

5) Benarkah paracetamol akan tinggal dalam badan kita selama 5 tahun?
Tidak benar. Paracetamol menjangkau kepekatan tertinggi dalam darah kira-kira 30 minit selepas dimakan, manakala ianya pula akan dikeluarkan secara total dari badan melalui air kencing kira-kira 24-48 jam setelah dimakan.

6) Benarkah pengambilan paracetamol dalam jangka panjang akan menyebabkan paracetamol kurang berkesan untuk menghilangkan kesakitan?
Perkara ini ada disebutkan dalam sesetengah laman web, dan ianya dipanggil sebagai drug tolerance. Namun ini bukanlah menjadi isu yang serius, malah sesetengah buku teks perubatan tidak pun menyebutnya. Jika sakit masih berterusan, boleh jadi sakit itu adalah tanda kepada masalah yang lebih serius, maka seharusnya anda berjumpa dengan doktor. Masalahnya bukan pada paracetamol, tapi pada kesakitan anda itu.

7) Kenapakah adakalanya kesakitan tetap ada walaupun setelah mengambil paracetamol?
Selalunya mungkin itu tanda anda mempunyai masalah yang lebih serius dan mungkin memerlukan rawatan lain yang lebih rapi. Sila berjumpa doktor anda untuk kepastian.

Sumber rujukan :
1) http://www.medicines.org.uk/
2) http://www.medicines.ie/
3) http://www.bbc.co.uk/health/emotional_health/addictions/painkiller.html
4) Lippincott’s Pharmacology 4th edition