6 Fakta Tentang Demam Kepialu Yang Anda Perlu Tahu

Apa itu demam kepialu?

Dalam bahasa inggeris lebih dikenali sebagai Typhoid fever, adalah sejenis penyakit jangkitan kuman yang melibatkan pelbagai sistem tubuh badan, berpunca dari bakteria Salmonella Typhii.

 

Apakah sebab terjadinya demam kepialu?

Demam kepialu adalah disebabkan jangkitan oleh bakteria Salmonella Typhii yang terdapat di dalam makanan dan minuman. Bakteria ini berada di dalam sistem penghadaman pembawa bakteria yang seterusnya dibawa keluar melalui najis. Ianya mudah tersebar apabila pembawa bakteria yang juga pengendali makanan tidak mengamalkan kaedah basuh tangan yang bersih atau mengambil bekalan air minuman dari sumber air yang tercemar.

 

Apakah tanda-tanda terkena jangkitan demam kepialu?

Tanda-tanda jangkitan akan bermula kira-kira satu ke dua minggu selepas bakteria memasuki badan.

Minggu pertama :

Demam, sakit perut memulas, sembelit, sakit kepala, batuk kering dan juga keletihan. Pada akhir minggu, ruam bintik-bintik kemerahan akan muncul di badan.

Minggu kedua :

Tanda-tanda pada minggu pertama menjadi semakin kuat. Saiz perut membesar dan buncit.

Minggu ketiga :

Gejala semakin teruk dan saluran pemakanan mungkin boleh berlubang dan berdarah. Status mental pesakit akan terjejas, menjadi mudah keliru dan mendapat serangan psikosis. Ketika ini, penyakit ini boleh membawa maut.

Minggu keempat :

Jika pesakit masih hidup, tanda-tanda penyakit akan semakin pulih, namun pesakit akan menjadi pembawa kronik bakteria yang boleh menyebarkan penyakit kepada orang lain pula.

 

Bolehkah demam kepialu membawa maut?

Jika tidak dirawat, statistik menunjukkan risiko kematian adalah sebanyak 10-30%.

 

Bagaimanakah demam kepialu dirawat?

Demam kepialu dirawat dengan memberikan antibiotik kepada pesakit dan juga memastikan pesakit mendapat air dan electrolytes yang mencukupi. Selalunya pesakit memerlukan rawatan di hospital selama seminggu.

 

Apakah langkah pencegahan yang perlu dilakukan?

Sebagai orang awam, pilihlah tempat makan yang bersih dan bukan di kawasan yang dikenali tersebarnya penyakit demam kepialu. Makanan yang panas dan baru dimasak perlu menjadi keutamaan.

Sebagai pengendali makanan, pastikan anda mengamalkan kaedah basuh tangan yang betul. Pastikan pekerja-pekerja anda mematuhi dan mengamalkan kebersihan tangan yang sepatutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.