6 Alasan Popular Tapi Salah Untuk Menjadi Doktor

imageAnda mungkin mempunyai rakan atau keluarga atau saudara yang merupakan seorang doktor. Adakah dahulu anda juga pernah bercita-cita menjadi seorang doktor?

Mari kita lihat alasan yang selalu orang fikir untuk menjadi doktor, namun realiti adalah sebaliknya.

KAYA
Gaji permulaan termasuk elaun bagi seorang doktor pelatih yang baru memulakan kerja adalah sebanyak RM4927.98. Secara purata, mereka akan berkerja selama 70 jam atau lebih dalam seminggu. Secara purata, upah yang mereka dapat adalah kira-kira RM17 sejam. Saya pasti, ada beberapa lagi perkerjaan yang setaraf tetapi mendapat gaji yang lebih lumayan. Doktor gigi misalnya, gaji permulaan sebanyak RM4224, kerja lebih kurang 40jam seminggu, purata gaji ialah kira-kira RM20 sejam. Itu belum kira kos pengajian yang perlu ditanggung, selalunya berjumlah ratusan ribu ringgit untuk 5-6 tahun pengajian. Bagi doktor pelatih dan doktor bertugas on-call, tidak ada waktu rehat rasmi untuk pergi makan dan minum. Doktor pelatih, masuk kerja pula selalunya seawal 6 pagi, pulang pula jarang sangat tepat pada masa, selalunya pukul 6 ke atas, malah sehingga 8-9 malam bagi jabatan yang sibuk. Jika on-call, pegawai perubatan (MO) dapat elaun sekitar RM200 sehari. Masuk pukul 8 pagi sehingga 5 petang keesokan hari, 36 jam tanpa henti. Berapa pecahan per jam? Kira-kira RM8 sejam.

JAMINAN KERJAYA.

Mentaliti sesetengah masyarakat Melayu, adalah lebih baik kerja kerajaan dari kerja sendiri. Terjamin. Tetapi mereka lupa, kerja kerajaan tak boleh diwarisi. Budaya kerja dan tekanan yg dihadapi, berapa peratus dari jumlah doktor yang betul-betul sanggup kekal dalam kerajaan dalam tempoh yang lama? Berapa ramai pula yang berhenti di tengah jalan, sama ada pergi ke swasta atau buat kerja lain? Selepas latihan siswazah (housemanship) berapa ramai yang diletakkan dalam jabatan yang dia tak mahu atas alasan jabatan yang dia minta sudah penuh? Sedangkan doktor yang memenuhi jabatan itu pula mahu duduk di jabatan kita? Kata mereka doktor masih tidak cukup tapi tetap dicampak merata-rata? Macam mana mahu kerja kalau tak cinta?

DIHORMATI
Hari ini ramai yang lebih mempercayai pengamal perubatan tak diiktiraf, bomoh, doula dan lain-lain. Mereka bercakap atas perkara yang mereka tidak tahu. Yang menasihati bukan ahli. Mereka mempersoalkan fakta perubatan yg terbukti berpuluh tahun. Pesakit mula tak mahu dengar nasihat doktor. Lihat saja isu vaksin, isu kelahiran semulajadi, lotus birth dan pelbagai lagi. Akhirnya penyakit merebak, kembali berjumpa dengan doktor.

IBU BAPA DAN KELUARGA
Ibu bapa yang tidak tahu keadaan dan persekitaran kerja sebenar doktor, mahu anak menjadi doktor. Anak yang patuh, ikut, walaupun tak mahu, akhirnya kerja dalam keadaan terpaksa, kerja dalam keadaan mahu memenuhi impian orang lain, dan bukan diri sendiri. Yang menempuh dan merasai segala keperitan, yang dimarahi, dimaki, keletihan, tertekan adalah anak yang berkerja di hospital, dan bukan ibu bapa di rumah.

AKADEMIK CEMERLANG
Memang bidang perubatan banyak perkara yang perlu dipelajari, dan memerlukan akal yg cepat dan tajam. Akademik cemerlang adalah salah satu dari keperluan,tapi ia bukan segala-galanya. Banyak lagi bidang lain yang boleh diceburi dengan akademik cemerlang. Kita perlu tahu budaya kerja dan cabaran yang mendatang, perlu diuji emosi dan psikologi, bukan hanya berdasarkan kertas peperiksaan semata-mata.

INGIN MERAWAT KELUARGA SENDIRI

Realitinya, keluarga doktor lah yang selalunya terpaksa ditinggalkan. Anak dan pasangan di rumah, selalu saja tidur malam tanpa kita kerana perlu on-call di hospital. Ibu bapa pula mungkin payah diziarahi oleh kerana jadual yang padat termasuk perlu berkerja pada hari cuti. Macam mana mahu merawat keluarga? Malah secara etikanya, doktor tidak boleh secara rasmi merawat ahli keluarga sendiri kerana akan mengaburi keputusan yang akan diambil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.