“Tapi doktor, saya tak merokok dalam rumah”

“Puan pakai berapa jenis pam asma ye?” tanya Dr. Jason kepada Puan Ainon, wanita Melayu lingkungan umur awal 30-an itu.

“2 pam, doktor. Satu biru, satu coklat,” jawabnya diselangi batuk-batuk.

“Puan boleh tunjukkan macam mana puan pakai pam tu?” Dr. Jason meminta Puan Ainon membuat demonstrasi bagaimana menggunakan pam.

“Bagus puan,” puji Dr. Jason setelah melihat Puan Ainon menunjukkan teknik yang betul menggunakan pam. “Teknik betul dah. Apa yang tak kena ni?” bisik hati Dr. Jason melihat rekod lawatan Puan Ainon ke klinik kesihatan yang kerap. Hampir setiap minggu, pasti mengambil nebulisation, atau dalam bahasa orang awam, gas. Kawalan asma tidak bagus.

“Puan ada kucing di rumah? Karpet? Apa yang selalu buat puan mula rasa batuk dan lepas itu sesak nafas?” tanya Dr. Jason lagi.

“Sejujurnya doktor, saya tidak ada kucing, tidak ada karpet, malam-malam pun tak pasang air-cond,” jawab wanita yang sudah mempunyai 2 anak itu.

“Puan tak merokok kan?” tanya Dr. Jason mahukan kepastian.

“Saya tak merokok doktor. Tapi suami saya merokok,” jawab Puan Ainon, sambil suaranya diperlahankan.

“Haaa, inilah puncanya!” Dr. Jason seolah-olah mendapat satu cahaya yang masuk ke dalam otaknya. Inilah jawapan yang dicari-cari.

“Suami ada di luar?” tanya Dr. Jason. “Jemput dia masuk. Saya nak cakap sikit,” Dr. jason memberitahu Puan Ainon.

Suami Puan Ainon, lelaki 30-an juga, perokok tegar sejak umur 18 tahun. 1 paket 2 hari, bermaksud 6-pack year. Mujurlah suaminya tidak sombong, Dr. Jason pula seorang yang lemah lembut, suaminya turut dan dengar saja nasihatnya.

“Tapi doktor, saya merokok di luar. Dalam rumah saya tak merokok,” tiba-tiba suaminya mencelah.

 

*************************

Ada beberapa perkara yang perokok, keluarga perokok dan orang yang tidak merokok perlu tahu.

1- Walaupun anda merokok di luar, tetapi asap rokok yang melekat di baju, rambut, tangan, muka, mulut, telefon bimbit dan lain-lain membawa risiko yang sama bahaya seperti bahan kimia dari asap rokok yang sebenar. Inilah yang dipanggil sebagai third-hand smoker.

2- Jadi walaupun anda merokok di luar, selagi anda pakai baju yang sama, seluar yang sama, rambut yang sama, tangan yang sama yang tidak dibasuh, kemudian anda menyentuh keluarga anda, maka keluarga anda yang tidak merokok dan tidak berdosa akan mendapat bahaya asap rokok sama seperti anda merokok di hadapan mereka.

3- Apatah lagi kalau anda merokok di dalam rumah. Sofa, kerusi, meja makan, televisyen, perabot, dinding rumah, semua itu akan melekat partikel dan molekul dari bahan kimia rokok anda dan keluarga anda akan terus terdedah dengan bahaya racun dari rokok walaupun anda sudah tidak menghisap rokok.

4- Jika keluarga anda atau orang lain yang tidak merokok berada dalam ruang yang sama sewaktu anda merokok, udara yang tercemar dengan asap rokok anda akan dihidu oleh mereka- walaupun bukan asap secara langsung- dan ini menjadikan mereka sebagai second-hand smoker atau perokok pasif.

5- Second-hand smoker menghirup bahan racun yang boleh menyebabkan kanser, sama seperti perokok sebenar.

6- Second-hand smoker menyebabkan risiko penyakit paru-paru seperti asma, penyakit paru-paru kronik, keguguran, kanser, kematian bayi secara tiba-tiba (sudden infant death syndrome), penyakit jantung dan berbagai penyakit kronik dan bahaya yang lain.

7- Seramai 41,000 kematian direkodkan di Amerika Syarikat setiap tahun akibat menjadi perokok pasif. Manakala kira-kira 7300 kematian kanser paru-paru adalah akibat menjadi perokok pasif. Manakala sebanyak 5.6 bilion USD kerugian dianggarkan.

Solusi kepada semua ini ialah satu sahaja – berhenti merokok. Sesetengah klinik kesihatan di negara kita menawarkan kaunseling dan khidmat rawatan berhenti merokok, ramai juga yang telah mendapat manfaat daripadanya. Percuma sahaja. Anda boleh daftar di klinik kesihatan terdekat.

Jika suami atau isteri atau diri anda sendiri merokok, sama-samalah nasihatkan diri masing-masing dan tenunglah dalam-dalam mata orang yang tersayang, adakah anda mahu mereka sengsara dengan penyakit yang berpunca daripada anda? Sedangkan mereka adalah manusia yang tidak bersalah dan tidak berdosa? Tepuk dada, tanya diri sendiri.

 

Rujukan :

  1. https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/secondhand_smoke/health_effects/index.htm
  2. http://www.lung.org/about-us/blog/2016/06/secondhand-smoke-firsthand-risk.html?referrer=https://www.google.com/
  3. http://www.telegraph.co.uk/news/health/news/7188230/Third-hand-smoke-as-dangerous-as-cigarette-fumes.html
  4. gambar : lintasnews

CPR ke atas orang tua : kejam atau menyelamatkan?

Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Hanya Dr. Amin seorang saja doktor yang menjaga wad perubatan perempuan ketika itu. Beliau yang merupakan houseman posting ke-4, masih lagi tak sempat duduk mengambil darah pesakit. Darah 22 orang pesakit mesti dihantar awal dan tersedia keputusannya esok pagi sebelum round dengan pakar.

“Puan Halijah, maaf ye, saya minta izin ambil darah,” kejut Dr. Amin lembut dalam samar-samar cahaya.

“Puan Halijah, oo Puan Halijah,” berkali-kali digoyangkan kaki pesakit berusia 78 tahun itu, tidak juga terjaga.

Dipegangnya kaki Puan Halijah, sejuk. Dibukanya lampu, kelihatan Puan Halijah sudah tidak bernafas, dirasanya nadi – memang tak dapat rasa.

“Nurse! I need help over here!” pekik Dr. Amin terdengar sehingga ke kaunter wad di mana jururawat sedang mengemaskini census.

Jururawat Hazimah yang sedang memberikan ubat terus berkejaran mendapatkan Dr. Amin. “Push the emergency trolley!” arah Dr. Amin.

Dr. Amin terus naik ke katil pesakit dan memulakan tekan dada ke atas tubuh badan Puan Halijah yang kaku. Tak sampai 10 tekanan, “prakk” sudah terdengar tulang rusuk tubuh kecil itu patah.

“Kak Hazimah, sediakan intubation set, Kak Nor, tolong call MO,” Dr. Amin meminta tolong para jururawat sambil peluh mengalir di tepi keningnya. Jururawat Zainab setia di tepinya menekan bag valve mask dua kali setiap 30 tekanan dada.

Puan Halijah yang baru masuk ke wad pagi tadi akibat Deconditioning Secondary to Urinary Tract Infection, hanya ditemani anak bongsunya. Keadaannya stabil ketika mula-mula masuk, cuma nampak lemah dan lupa. Beliau sememangnya mempunyai pelbagai penyakit sebelum itu – darah tinggi, kencing manis, malah memakai pacemaker untuk complete heart block yang dialaminya 10 tahun dulu.

Arahan Do Not Resuscitate (DNR), tidak pula dibincangkan ketika itu, tidak sangka pula keadaan boleh sampai teruk begini dalam masa yang singkat.

Selalunya, jika keadaan pesakit sangat kritikal, apatah lagi orang tua yang sangat berumur, dalam sesetengah keadaan, para doktor akan berbincang dengan ahli keluarga, jika tiba-tiba jantungnya berhenti – adakah keluarga izinkan kita melakukan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) ke atas pesakit atau pun biarkan pesakit pergi dengan tenang. Ini kerana, dari sudut pertimbangan perubatan, CPR dalam keadaan tersebut mungkin tidak akan memberi manfaat kepadanya – jika pun denyutan jantungya kembali, keadaannya mungkin tidak seperti sediakala, kerana CPR itu sendiri mempunyai komplikasi yang pelbagai – kesakitan, patah rusuk, kecederaan kepada saluran pemakanan, pendarahan dan sebagainya. Maka persetujuan khas yang dipanggil DNR diambil.

*********************

Itulah antara isu yang menjadi dilema bukan sahaja di Malaysia, malah di bahagian lain dunia juga.

Adakah CPR patut dibuat ke atas pesakit yang sangat tua ditambah dengan mempunyai masalah kesihatan yang kronik?

Persoalannya, kenapa seorang doktor tangkas memulakan CPR ke atas pesakit apabila mendapati pesakit tidak bernafas atau jantungnya berhenti?

Sesetengah doktor dilatih untuk respon segera dalam hal kecemasan dan menyelamatkan nyawa adalah prioriti teratas. Maka kepercayaan yang tertanam ialah – mulakan CPR sesegera mungkin, kerana lagi cepat dimulakan, lagi tinggi peluang nyawa dapat diselamatkan.

Kedua, mungkin juga seorang doktor itu khuatir jika dia tidak memulakan CPR secepat mungkin, dia dikira sebagai mengabaikan tanggungjawab lalu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Walaupun tanggapan ini tidaklah salah, namun bukanlah tepat untuk setiap kes.

Dr. John Launer dari UK di dalam Postgraduate Medical Journal menulis bahawa doktor harus membezakan cara kematian yang dilalui pesakit. Katanya di UK sendiri, masih ada doktor yang diambil tindakan akibat tidak memulakan CPR kepada pesakit, dan ini mungkin menyumbang kepada kekhuatiran doktor.

Dr. Gordon Cauldwell, pakar perunding perubatan London turut mengkritik isu ini di dalam tulisan terbukanya kepada Majlis Perubatan. Beliau menyeru agar doktor memberhentikan CPR yang tidak perlu. Perlu dibezakan antara cardiac arrest yang berpunca secara tiba-tiba, seperti jatuh gaung misalnya, dengan keadan seorang pesakit yang melalui proses nazak biasa – yang keadaan kesihatannya semakin menyusut dari semasa ke semasa. Rawatan keadaan sebegini adalah dengan memberikan keselesaan kepada pesakit untuk menghadapi hari-hari terakhirnya.

Apa kata anda? Setujukah anda dengan pandangan mereka?

 

Rujukan : https://www.irishtimes.com/life-and-style/health-family/stop-the-barbaric-practice-of-using-cpr-on-the-very-old-1.3026488

Gambar : https://www.linkedin.com/pulse/drsabcd-you-need-know-what-means-jude-barnes

“Saya senggugut doktor, boleh bagi MC?”

Pagi Nadia terganggu dengan perutnya yang memulas kuat. Hari ini hari ketiga haidnya.

“Senggugut lagi,” getus hatinya.

2 biji Paracetamol yang ditelan memang tak memberi kesan langsung. Walaupun sudah bersiap dan sedang memandu ke tempat kerja, Nadia merasakan dia memang tidak mampu meneruskan perjalanan ke pejabat. Diambil selekoh untuk ke klinik kesihatan terdekat.

Setelah 1 jam menunggu, nombor gilirannya dipanggil masuk.

“Ok, ini ubat tahan sakit, boleh ambil di farmasi,” Dr. Akram menamatkan bicaranya setelah 10 minit mengambil history dan melakukan pemeriksaan ke atas Nadia.

“Boleh saya dapatkan MC hari ini?” tanya Nadia lembut kepada Dr. Akram, mengharapkan beliau memberikan MC.

Pemeriksaan semuanya normal, tekanan darah dan nadi juga stabil. Tapi kelihatannya sakit itu tidak tertahan.

Situasi begini bukanlah situasi asing di klinik dan jabatan kecemasan hospital. Sebagai seorang doktor, pastinya kita akan simpati kepada pesakit, namun tidaklah sampai kita mahu memeriksa bahagian sulit pesakit untuk pastikan pesakit tidak menipu. Ada juga cadangan agar dibuat ujian air kencing kepada pesakit, jika benar ada darah haid, boleh dilihat dalam ujian tersebut. Namun sesetengah wanita senggugutnya datang sebelum haid.

 

*************

Tahukah anda, di sesetengah negara di dunia ini, mereka mempunyai undang-undang yang membenarkan wanita mengambil cuti bergaji untuk sakit senggugut?

Jepun, Taiwan, Indonesia dan Korea Selatan adalah antara negara-negara tersebut.

Walaupun cadangan ini nampak memberi kelebihan dan belas ihsan kepada wanita, namun sesetengah pihak mempertikaikannya, misalnya Emily Martin dari National Women’s Law Center di AS, khuatir masyarakat akan melihat haid sebagai suatu kecacatan pula kepada wanita sehingga menyebabkan mereka tidak boleh berfungsi dalam masyarakat.

Ketidakhadiran kaum wanita akan menjadikan mereka berkemungkinan ketinggalan dalam membuat keputusan-keputusan penting syarikat dan jabatan.

Walaubagaimanapun, satu kajian pada tahun 2012 dijalankan menunjukkan 20% wanita mendapati senggugut sangat menyakitkan sehingga mengganggu tugas harian mereka.

Apa kata anda pula? Adakah anda rasa polisi memberi cuti khas ini juga harus dilaksanakan di Malaysia?

 

Rujukan : https://www.nytimes.com/2017/07/24/health/period-pain-paid-time-off-policy.html

Munchausen Syndrome : “Sakit” yang Tidak Sakit.

“Pakcik ni datang lagi hari ni? Ni dah masuk hari ke 7 berturut-turut datang kecemasan. Complaint of chest pain lagi ke?” tanya Dr. Kamal kepada Medical Assistant (MA) dari triage yang menolak lelaki lewat 40-an itu di atas kerusi roda.

“Ya doktor. Heavy in nature, pain score 7/10, vitals stable,” jawab MA itu tadi.

Setiap hari selama seminggu ini En. Lau akan datang ke kecemasan, berbeza-beza waktu dan mengadu sakit dada. Ciri-ciri sakitnya itu sama sahaja. Rakan-rakan Medical Officer lain turut mengaku bahawa sebelum ini kira-kira sebulan lepas juga En. Lau pernah datang dengan sakit dada. Namun ketika itu, ECG dibuat memang ada tanda-tanda Acute Coronary Syndrome dan ujian darah Torponin I juga turut meningkat. Memang dimasukkan ke hospital, dan memang sudah ada temujanji untuk klinik cardiology.

Namun hari ini, ECG yang dibuat tidak ada apa-apa tanda bahaya. Beberapa hari lalu datang, IV Ranitidine juga sudah diberi, ketika itu dirawat sebagai acute dyspepsia, dan surat rujukan kepada klinik pakar bedah untuk temujanji endoscopy juga sudah diberi.

“Apa yang buat pakcik ini datang lagi hari ini?” Dr. Kamal bermonolog sendirian.

****************

Kinik kesihatan hari ini sibuk seperti biasa. Dengan berpuluh-puluh temujanji pesakit, pelbagai drama dan aduan dari makcik dan pakcik yang datang sekali 4 ke 5 bulan ini. Di bilik 5, Dr. Mariah duduk di atas kerusinya, sambil membelek kad pesakit yang baru sampai.

“Siti binti Yunus,” Dr. Mariah memanggil nama pesakit dengan nyaring setelah berkali-kali menekan nombor giliran tidak muncul-muncul.

“Selamat pagi cik. Ya, kenapa datang hari ini?” Dr. Mariah memulakan perbualannya seperti biasa.

“Selamat pagi doktor.” pesakit tersebut berhenti menarik nafas. “Macam ini doktor, saya datang hari ini sebab saya rasa tak sedap perut. Sakit sangat. Pedih. Lepas itu merebak ke belakang. Kemudian mula datang sesak nafas. Sekarang pun masih ada sesak nafas.”

Dr. Mariah mendengar dengan teliti. Dibelek-beleknya kad pesakit itu, boleh dilihat rekod lawatan pesakit itu sebelum ini. Sekali seminggu mesti datang. Mengadu perkara yang sama, sakit perut. Rujukan ke pakar pembedahan sudah dibuat, laporan endoskopi sebulan lepas menyatakan semuanya normal. Scan ultrasound dan xray perut juga semua normal, ujian darah juga tidak menunjukkan apa-apa.

“Mak saya dulu ada kanser. Meninggal sebab kanser lah. Saya risau juga saya ada kanser.”

Segala ubat-ubatan canggih telah diberikan, namun katanya tiada kesan.

“Boleh ke buat CT scan atau MRI pula doktor?” Siti tanya memujuk Dr. Mariah agar merujuknya sekali lagi kepada pakar radiologi untuk buat siasatan yang tak perlu.

*****************

Sebagai doktor, kadang kala kita akan jumpa pesakit sebegini. Mengadu macam-macam sakit, aduannya sama, kerap sekali datang berjumpa kita. Kita buat segala ujian yang diperlukan, ternyata segalanya normal, tidak ada yang patut dirisaukan, tapi dia tetap mahu mendapatkan rawatan.

Mendapatkan rawatan sudah jadi satu ketagihan dan kemahuannya.

Pesakit seperti ini mungkin menghidap penyakit yang kita katakan sebagai Munchausen Syndrome.

Ianya adalah satu masalah kesihatan mental yang menyifatkan seseorang itu kerapkali mahu mendapatkan rawatan atau berjumpa doktor dan mengadu masalah kesihatan walaupun tiada apa-apa penyakit yang dihidapinya.

Antara tanda-tanda lain yang perlu dilihat :

  1. Pesakit mempunyai rekod kesihatan yang panjang dan adakalanya rumit dan telah bertemu dengan pelbagai doktor dari pelbagai tempat.
  2. Pesakit juga boleh jadi seseorang yang tahu istilah-istilah perubatan dan penyakit, menyebutnya dengan yakin menyebabkan sesetengah perawat mempercayainya.
  3. Pesakit mungkin memang mempunyai masalah kesihatan serius suatu masa dahulu atau pun ahli keluarga terdekat mempunyai masalah kesihatan serius.
  4. Menurut kajian, antara sebab pesakit kerapkali mahukan rawatan adalah kerana di dunia realiti, mungkin pesakit pernah mengalami trauma ataupun tidak dihargai, lalu menerima rawatan di klinik atau hospital menjadikan pesakit lebih diberikan perhatian dan dihargai. Mungkin juga pesakit lebih rasa selamat.

Bagi perawat kesihatan, jika memang segala punca kepada aduannya didapati tidak mempunyai asas dan bukti yang kukuh, maka Munchausen Syndrome boleh dipertimbangkan dan haruslah mendapat nasihat dari pakar psikiatri.

Namun, anda juga harus berani untuk mengorek dengan lebih mendalam, kerana boleh jadi pesakit mempunyai isu sosial lain seperti dibuli atau dicederakan atau mengalami masalah keganasan rumahtangga atau kemurungan yang menyebabkan dia mencari perlindungan di klinik dan hospital tetapi tidak cukup berani untuk memberitahu anda.

Tapi kalau pesakit mengadu demam tetapi suhu tidak tinggi, selsema dan buat-buat batuk, umurnya masih muda, anda mungkin perlu mempertimbangkan satu lagi sindrom baru- Sindrom Minta MC.