Daging Diproses Punca Kanser-WHO

Adakah anda peminat sosej dan bakon? Mungkin selepas ini anda perlu menukar pilihan makanan anda.

Isnin baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO telah mengesahkan dalam satu laporan yang dikeluarkannya bahawa dgaing yang diproses seperti sosej dan bakon boleh menyebabkan kanser.

Laporan itu dikeluarkan oleh Agensi Antarabangsa Kajian Kanser yang telah mengumpulkan saintis seluruh dunia dan membincangkan perkara ini sejak setahun yang lepas.

Menurut Dr. Kait Straif, wakil agensi tersebut, risiko untuk mendapat kanser usus daripada memakan daging proses secara individunya adalah kecil, namun risiko ini semakin bertambah dengan pengambilan yang semakin meningkat.

 

Tidak Mahu Vaksin Polio? Cacat Kekal Mungkin Menanti Anak Anda.

Kita sedia maklum ada kalangan rakyat Malaysia yang tidak mahu ambil vaksin untuk anak mereka.

Dalam program imunisasi, antara vaksin yang diberikan ialah vaksin Polio. Malaysia sudah tidak ada lagi jangkitan virus Polio liar sejak berpuluh tahun, antara sebabnya ialah kerana usaha pemberian vaksin polio ini.

Tahukah anda virus Polio boleh menjangkiti saraf tunjang dan seterusnya melumpuhkan kaki? Otot kaki semakin lama semakin mengecil dan tidak berupaya untuk bergerak lagi.

Kesannya, kecacatan kekal. Adakah ada rawatan dan penyembuh? TIADA.

poliwho002

Di atas ini adalah gambar sekumpulan kanak-kanak Nigeria yang mengalami kecacatan kekal akibat Polio. Nigeria kini hampir berjaya menghapuskan Polio hasil usaha vaksinisasinya.

poliaap001

Di atas ini pula adalah gambar pesakit kanak-kanak yang mengalami Polio terpaksa menggunakan alat bantuan untuk mengembangkan paru-parunya, juga dikenali “paru-paru besi”.

Hindari kejahilan, jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab.

Ujian DNA Lelaki Ini Tak Sepadan Dengan Anaknya, Dan Ini Adalah Sebabnya Yang Pasti Memeranjatkan Anda.

Kisahya bermula apabila sepasang suami isteri di Amerika Syarikat mempunyai kepayahan dalam mendapatkan anak kedua mereka. Bagi mengatasi masalah ini, mereka pergi mendapatkan rawatan di klinik kesuburan.

Dengan kaedah intrauterine insemination (memasukkan air mani lelaki ke dalam rahim wanita) hasilnya isterinya selamat mengandungkan dan melahirkan seorang bayi.

Namun mereka merasa hairan apabila darah anak mereka tidak sepadan dengan darah mereka. Mereka berdua mempunyai kumpulan darah A, manakala anaknya AB. Pada awalnya mereka beranggapan pihak klinik telah mencampurkan air mani yang salah, namun setelah disiasat, tidak berlaku sebegitu.

Lalu mereka mengambil keputusan untuk membuat siasatan lanjut dengan membuat ujian DNA. Dua sampel DNA telah diambil daripada lelaki tersebut, satu daripada bahagian dalam mulutnya, satu lagi daripada spermanya. Lalu dipadankan dengan DNA anaknya.

Alangkah terperanjatnya apabila didapati DNA daripada mulut lelaki itu dengan DNA daripada spermanya tidak sama. Tetapi DNA daripada spermanya sepadan dengan DNA anaknya.

Ini membuktikan bahawa lelaki tersebut mempunyai dua set DNA berbeza, di mana fenomena ini dipanggil sebagai Chimera. Pada kebiasaannya, seseorang individu mempunyai satu sahaja set DNA dan ianya tetap sama walaupun diambil daripada bahagian tubuh badan yang berbeza. Namun lelaki ini mempunyai dua set DNA berbeza, dan hanya salah satu sahaja set DNA yang diwariskan kepada anaknya.

Bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku kepada lelaki tersebut? Ketika lelaki itu masih lagi dalam kandungan ibunya, dia mempunyai kembar. Namun, kembarnya itu mati ketika masih dalam bentuk gumpalan sel lalu sel-sel itu diserap ke dalam lelaki tersebut termasuklah DNA nya. Maka secara bahasa yang lebih mudah, lelaki itu adalah gabungan dua individu, dirinya dan kembarnya yang telah mati sebelum dilahirkan.

 

Sumber: iflscience

8 Perkara Yang Mempengaruhi Mimpi Anda

Adakah mimpi mempunyai kaitan dengan fisiologi tubuh badan kita atau sekadar terjadi secara spontan? Ketahui 8 faktor yang boleh mempengaruhi mimpi anda.

1) Kedudukan

Tidur di sebelah kanan lebih memberi keselesaan dan membuatkan kita lebih berfungsi dengan baik selepas jaga.

Manakala tidur di sebelah kiri akan lebih mudah mendapat mimpi ngeri dan mimpi pelik.

 

2) Bau

Bau yang busuk akan memberi kita mimpi ngeri manakala bau yang baik dan wangi akan memberikan kita mimpi yang indah.

 

3) Bunyi

Otak tetap akan menafsirkan bunyi walaupun ketika tidur. Sebab itu lagu yang terpasang ketika tidur turut boleh memasuki mimpi.

 

4) Penghapusan

Sesuatu yang kita semakin cuba hapuskan daripada minda, maka perkara itu akan semakin mempengaruhi mimpi kita. Maka jangan terkejut jika sesuatu yang kita tidak suka seperti majikan, tugasan kerja atau masalah-masalah harian akan menghantui kita ketika kita pejamkan mata.

 

5) Ubat-ubatan

Vitamin B6 akan menjadikan mimpi lebih mudah diingati dan lebih nampak seperti kehidupan sebenar. Ini kerana ia menukar asid amino kepada serotonin yang merangsang otak ketika kitaran REM. Ubatan lain yang menghasilkan mimpi realistik dan pelik antaranya ialah ubat tidur dan anti-malaria.

 

6) Permainan video

Kajian menyatakan bahawa pemain permainan video lebih mampu untuk mengawal watak di dalam mimpi.

 

7) Kitaran Circadian

Mereka yang tidur lewat akan lebih mudah mengalami mimpi buruk. Ini kerana kitaran Circadian mereka terganggu. Malah mereka lebih mudah mengalami kemurungan dan kerisauan yang menyebabkan mereka mengalami mimpi pelik dan buruk.

 

8) Aktiviti Magnetik Bumi

Kajian telah dilakukan di utara Norway ketika musim sejuk, di mana Aurora sedang berlaku hasil dari meningkatnya aktiviti magnetik bumi ketika itu. Ia menunjukan melatonin, hormon manusia yang berfungsi untuk mengawal Kitaran Circadian (kitaran jam biologi manusia) berkurang. Maka disimpulkan bahawa semakin kurangnya aktiviti magnetik bumi, semakin tinggi kebarangkalian mengalami mimpi pelik.

 

 

Kredit: Healthcentral

6 Fakta Tentang Demam Kepialu Yang Anda Perlu Tahu

Apa itu demam kepialu?

Dalam bahasa inggeris lebih dikenali sebagai Typhoid fever, adalah sejenis penyakit jangkitan kuman yang melibatkan pelbagai sistem tubuh badan, berpunca dari bakteria Salmonella Typhii.

 

Apakah sebab terjadinya demam kepialu?

Demam kepialu adalah disebabkan jangkitan oleh bakteria Salmonella Typhii yang terdapat di dalam makanan dan minuman. Bakteria ini berada di dalam sistem penghadaman pembawa bakteria yang seterusnya dibawa keluar melalui najis. Ianya mudah tersebar apabila pembawa bakteria yang juga pengendali makanan tidak mengamalkan kaedah basuh tangan yang bersih atau mengambil bekalan air minuman dari sumber air yang tercemar.

 

Apakah tanda-tanda terkena jangkitan demam kepialu?

Tanda-tanda jangkitan akan bermula kira-kira satu ke dua minggu selepas bakteria memasuki badan.

Minggu pertama :

Demam, sakit perut memulas, sembelit, sakit kepala, batuk kering dan juga keletihan. Pada akhir minggu, ruam bintik-bintik kemerahan akan muncul di badan.

Minggu kedua :

Tanda-tanda pada minggu pertama menjadi semakin kuat. Saiz perut membesar dan buncit.

Minggu ketiga :

Gejala semakin teruk dan saluran pemakanan mungkin boleh berlubang dan berdarah. Status mental pesakit akan terjejas, menjadi mudah keliru dan mendapat serangan psikosis. Ketika ini, penyakit ini boleh membawa maut.

Minggu keempat :

Jika pesakit masih hidup, tanda-tanda penyakit akan semakin pulih, namun pesakit akan menjadi pembawa kronik bakteria yang boleh menyebarkan penyakit kepada orang lain pula.

 

Bolehkah demam kepialu membawa maut?

Jika tidak dirawat, statistik menunjukkan risiko kematian adalah sebanyak 10-30%.

 

Bagaimanakah demam kepialu dirawat?

Demam kepialu dirawat dengan memberikan antibiotik kepada pesakit dan juga memastikan pesakit mendapat air dan electrolytes yang mencukupi. Selalunya pesakit memerlukan rawatan di hospital selama seminggu.

 

Apakah langkah pencegahan yang perlu dilakukan?

Sebagai orang awam, pilihlah tempat makan yang bersih dan bukan di kawasan yang dikenali tersebarnya penyakit demam kepialu. Makanan yang panas dan baru dimasak perlu menjadi keutamaan.

Sebagai pengendali makanan, pastikan anda mengamalkan kaedah basuh tangan yang betul. Pastikan pekerja-pekerja anda mematuhi dan mengamalkan kebersihan tangan yang sepatutnya.

Kacamata Pinhole : Rawatan Untuk Rabun?

Sejak beberapa tahun ini, terdapat satu produk kacamata di pasaran yang dikenali sebagai kacamata pinholes, didakwa dapat memperbaiki pandangan mata yang bermasalah.

Kaca mata legap yang mempunyai lubang-lubang kecil ini sebenarnya telah berada di pasaran negara barat sejak tahun 90-an lagi.

Realitinya, kacamata ini bukanlah satu kaedah rawatan yang betul untuk memperbaiki rabun atau masalah mata. Bila dipakai, ianya mungin akan memberi kelegaan sementara, namun apabila ditanggalkan, tidak ada kesan berpanjangan terhadap mata.

Tidak ada satu pun kajian saintifik yang membuktikan keberkesanan kacamata ini seperti didakwa oleh syarikat yang menjual. Malah, satu kajian yang dilakukan di Korea Selatan pada tahun 2014 menunjukkan bahawa penggunaan kacamata ini akan mengurangkan kualiti visual dan membahayakan pengguna ketika aktiviti memandu, bersukan dan aktiviti luar kerana menjadikan pemandangan kita terhad.

Kesimpulannya, kacamata pinhole ini bukanlah rawatan yang betul untuk masalah mata dan tidak pernah disarankan oleh optometrist mahupun ophthalmologist.

Rujukan :

  1. http://www.independent.co.uk/life-style/health-and-families/health-news/the-truth-about-pinhole-glasses-1253113.html
  2. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/25118263
  3. http://articles.sun-sentinel.com/1991-12-11/news/9102210360_1_pinhole-glasses-laser-vision

Vaksin Agenda Yahudi? Tapi….

Antara hujah popular golongan anti-vaksin ialah vaksin merupakan agenda Yahudi untuk merosakkan umat Islam.

Sebelum mengeluarkan kenyataan ini, adakah anda tahu, Israel, sebuah kerajaan Yahudi, mewajibkan vaksin kepada penduduknya? Malah kadar populasi kanak-kanak yang menerima vaksin di Israel adalah antara yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 95%.

Baru-baru ini juga, ada gerakan dari ahli politik Israel untuk menetapkan kanak-kanak tidak akan mendapat bantuan elaun jika tidak menerima vaksin.

Sila baca: http://www.timesofisrael.com/state-to-anti-vaxxers-no-vaccination-no-child-support/

IMG_20151009_074229

Adakah Israel mahu merosakkan bangsanya sendiri?

Sama-sama kita fikirkan.

Pertussis (Batuk Kokol) : Video 11 Saat Golongan Anti-Vaksin Tidak Mahu Tunjukkan Kepada Anda.

Pertussis (batuk kokol) adalah satu penyakit berbahaya yang menjangkiti kanak-kanak.

Dengan penciptaan vaksin, penyakit ini hampir pupus pada zaman moden ini. Pertussis boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, tisu otak dan juga sawan. Malah, ianya juga boleh membawa maut. Keadaan pesakit yang batuk terlalu teruk dan berpanjangan boleh menyebabkan otak tidak dapat menerima oksigen yang mencukupi.

Terima kasih kepada golongan anti-vaksin, jumlah kes Pertussis kini semakin meningkat di Malaysia. Tanyalah kepada mana-mana doktor kanak-kanak di hospital, kes Pertussis yang mereka tidak pernah lihat sejak sekian lama, kini diakui semakin bertambah, pasti ada saja pesakit Pertussis di mana-mana hospital.

Di bawah ini adalah video 11 saat seorang kanak-kanak yang dijangkiti Pertussis. Cuba bayangkan ini adalah anak anda atau saudara-mara anda. Apakah perasaan anda? Adakah anda sanggup melihat penderitaan mereka?

 

Home Birth : Kaedah Kelahiran Yang Membahayakan

Sesetengah ibu-ibu di Malaysia cenderung untuk mengamalkan satu kaedah yang dipanggil sebagai Home Birth, di mana ibu akan melahirkan anak di rumah secara semulajadi.

Mereka yang memilih kaedah homebirth, perlu tahu beberapa risiko yang boleh berlaku kepada anak mereka, walaupun ketika mengandung tidak ada risiko/tidak ada masalah.

Anak mereka mungkin akan buang air dalam rahim dan seterusnya tertelan najis dan berisiko untuk masuk paru-paru. Atau jika tidak buang air besar, dan air ketuban jernih, mungkin juga boleh lahir tidak menangis dan lembik, memberi tanda-tanda bahawa bayi memerlukan bantuan pernafasan.

Sebab itu, di sisi doktor bahagian kanak-kanak yang menerima kelahiran, kita akan membuat persediaan untuk sebarang kebarangkalian. Kita akan menyediakan alatan bantuan pernafasan, beg udara, alatan sedut meconium, tiub endotracheal, laryngoscope, bekalan oksigen dan pelbagai alatan lain, dan kita akan mempersiapkan untuk situasi yang terburuk berlaku. Jururawat, doktor pelatih dan doktor senior semua wajib mendapat latihan untuk ini.

Malah, bukan semua hospital mempunyai kelengkapan seperti itu. Sebab itu, sesetengah kes perlu dibawa ke hospital yang mempunyai kelengkapan yang lebih baik.

Persoalannya, jika lahir di rumah, mampukah kita membuat persediaan yang sama? Atau kita mahu tunggu bayi kita terus lemas, lembik, biru dan tak bernyawa lagi, baru kita ingin menyesal?

Ujian Kehamilan Boleh Mengesan Kanser Testis? Ini Jawapan Pakar

Sekitar tahun 2012, tersebar satu kisah di Amerika Syarikat bahawa seorang lelaki cuba berjenaka dengan mengambil ujian air kencing untuk kehamilan. Apa yang memeranjatkan, keputusan ujian yang diambil itu positif. Adakah lelaki itu mengandung?

Pertama sekali, kita harus mengetahui bagaimana ujian kehamilan melalui air kencing ini berfungsi. Ujian ini akan mengesan hormon Beta Human Chorionic Gonadotropin (BHCG), satu hormon yang akan terhasil dari placenta perempuan mengandung.

Hormon yang sama juga akan terhasil dari sesetengah jenis kanser testis.

Menurut Dr. Ted Gansler, wakil Pertubuhan Kanser Amerika, hanya segelintir pesakit kanser testis sahaja yang akan menghasilkan BHCG terlalu tinggi sehingga dapat dikesan melalui air kencing.

Ini bermaksud, buat masa ini, ujian air kencing kehamilan bukanlah cara terbaik untuk saringan kanser testis bagi lelaki, walaupun mungkin ianya boleh menunjukkan kesan positif. Malah, terdapat juga sebab-sebab lain yang boleh memberi keputusan positif bagi ujian kehamilan antaranya penyakit hati, atau sesetengah jenis ubat-ubatan.

Boleh jadi anda mempunyai kanser testis tetapi ujian kehamilan negatif, atau anda tidak ada kanser testis tetapi ujian kehamilan positif.