“Tapi doktor, saya tak merokok dalam rumah”

“Puan pakai berapa jenis pam asma ye?” tanya Dr. Jason kepada Puan Ainon, wanita Melayu lingkungan umur awal 30-an itu.

“2 pam, doktor. Satu biru, satu coklat,” jawabnya diselangi batuk-batuk.

“Puan boleh tunjukkan macam mana puan pakai pam tu?” Dr. Jason meminta Puan Ainon membuat demonstrasi bagaimana menggunakan pam.

“Bagus puan,” puji Dr. Jason setelah melihat Puan Ainon menunjukkan teknik yang betul menggunakan pam. “Teknik betul dah. Apa yang tak kena ni?” bisik hati Dr. Jason melihat rekod lawatan Puan Ainon ke klinik kesihatan yang kerap. Hampir setiap minggu, pasti mengambil nebulisation, atau dalam bahasa orang awam, gas. Kawalan asma tidak bagus.

“Puan ada kucing di rumah? Karpet? Apa yang selalu buat puan mula rasa batuk dan lepas itu sesak nafas?” tanya Dr. Jason lagi.

“Sejujurnya doktor, saya tidak ada kucing, tidak ada karpet, malam-malam pun tak pasang air-cond,” jawab wanita yang sudah mempunyai 2 anak itu.

“Puan tak merokok kan?” tanya Dr. Jason mahukan kepastian.

“Saya tak merokok doktor. Tapi suami saya merokok,” jawab Puan Ainon, sambil suaranya diperlahankan.

“Haaa, inilah puncanya!” Dr. Jason seolah-olah mendapat satu cahaya yang masuk ke dalam otaknya. Inilah jawapan yang dicari-cari.

“Suami ada di luar?” tanya Dr. Jason. “Jemput dia masuk. Saya nak cakap sikit,” Dr. jason memberitahu Puan Ainon.

Suami Puan Ainon, lelaki 30-an juga, perokok tegar sejak umur 18 tahun. 1 paket 2 hari, bermaksud 6-pack year. Mujurlah suaminya tidak sombong, Dr. Jason pula seorang yang lemah lembut, suaminya turut dan dengar saja nasihatnya.

“Tapi doktor, saya merokok di luar. Dalam rumah saya tak merokok,” tiba-tiba suaminya mencelah.

 

*************************

Ada beberapa perkara yang perokok, keluarga perokok dan orang yang tidak merokok perlu tahu.

1- Walaupun anda merokok di luar, tetapi asap rokok yang melekat di baju, rambut, tangan, muka, mulut, telefon bimbit dan lain-lain membawa risiko yang sama bahaya seperti bahan kimia dari asap rokok yang sebenar. Inilah yang dipanggil sebagai third-hand smoker.

2- Jadi walaupun anda merokok di luar, selagi anda pakai baju yang sama, seluar yang sama, rambut yang sama, tangan yang sama yang tidak dibasuh, kemudian anda menyentuh keluarga anda, maka keluarga anda yang tidak merokok dan tidak berdosa akan mendapat bahaya asap rokok sama seperti anda merokok di hadapan mereka.

3- Apatah lagi kalau anda merokok di dalam rumah. Sofa, kerusi, meja makan, televisyen, perabot, dinding rumah, semua itu akan melekat partikel dan molekul dari bahan kimia rokok anda dan keluarga anda akan terus terdedah dengan bahaya racun dari rokok walaupun anda sudah tidak menghisap rokok.

4- Jika keluarga anda atau orang lain yang tidak merokok berada dalam ruang yang sama sewaktu anda merokok, udara yang tercemar dengan asap rokok anda akan dihidu oleh mereka- walaupun bukan asap secara langsung- dan ini menjadikan mereka sebagai second-hand smoker atau perokok pasif.

5- Second-hand smoker menghirup bahan racun yang boleh menyebabkan kanser, sama seperti perokok sebenar.

6- Second-hand smoker menyebabkan risiko penyakit paru-paru seperti asma, penyakit paru-paru kronik, keguguran, kanser, kematian bayi secara tiba-tiba (sudden infant death syndrome), penyakit jantung dan berbagai penyakit kronik dan bahaya yang lain.

7- Seramai 41,000 kematian direkodkan di Amerika Syarikat setiap tahun akibat menjadi perokok pasif. Manakala kira-kira 7300 kematian kanser paru-paru adalah akibat menjadi perokok pasif. Manakala sebanyak 5.6 bilion USD kerugian dianggarkan.

Solusi kepada semua ini ialah satu sahaja – berhenti merokok. Sesetengah klinik kesihatan di negara kita menawarkan kaunseling dan khidmat rawatan berhenti merokok, ramai juga yang telah mendapat manfaat daripadanya. Percuma sahaja. Anda boleh daftar di klinik kesihatan terdekat.

Jika suami atau isteri atau diri anda sendiri merokok, sama-samalah nasihatkan diri masing-masing dan tenunglah dalam-dalam mata orang yang tersayang, adakah anda mahu mereka sengsara dengan penyakit yang berpunca daripada anda? Sedangkan mereka adalah manusia yang tidak bersalah dan tidak berdosa? Tepuk dada, tanya diri sendiri.

 

Rujukan :

  1. https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/secondhand_smoke/health_effects/index.htm
  2. http://www.lung.org/about-us/blog/2016/06/secondhand-smoke-firsthand-risk.html?referrer=https://www.google.com/
  3. http://www.telegraph.co.uk/news/health/news/7188230/Third-hand-smoke-as-dangerous-as-cigarette-fumes.html
  4. gambar : lintasnews

CPR ke atas orang tua : kejam atau menyelamatkan?

Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Hanya Dr. Amin seorang saja doktor yang menjaga wad perubatan perempuan ketika itu. Beliau yang merupakan houseman posting ke-4, masih lagi tak sempat duduk mengambil darah pesakit. Darah 22 orang pesakit mesti dihantar awal dan tersedia keputusannya esok pagi sebelum round dengan pakar.

“Puan Halijah, maaf ye, saya minta izin ambil darah,” kejut Dr. Amin lembut dalam samar-samar cahaya.

“Puan Halijah, oo Puan Halijah,” berkali-kali digoyangkan kaki pesakit berusia 78 tahun itu, tidak juga terjaga.

Dipegangnya kaki Puan Halijah, sejuk. Dibukanya lampu, kelihatan Puan Halijah sudah tidak bernafas, dirasanya nadi – memang tak dapat rasa.

“Nurse! I need help over here!” pekik Dr. Amin terdengar sehingga ke kaunter wad di mana jururawat sedang mengemaskini census.

Jururawat Hazimah yang sedang memberikan ubat terus berkejaran mendapatkan Dr. Amin. “Push the emergency trolley!” arah Dr. Amin.

Dr. Amin terus naik ke katil pesakit dan memulakan tekan dada ke atas tubuh badan Puan Halijah yang kaku. Tak sampai 10 tekanan, “prakk” sudah terdengar tulang rusuk tubuh kecil itu patah.

“Kak Hazimah, sediakan intubation set, Kak Nor, tolong call MO,” Dr. Amin meminta tolong para jururawat sambil peluh mengalir di tepi keningnya. Jururawat Zainab setia di tepinya menekan bag valve mask dua kali setiap 30 tekanan dada.

Puan Halijah yang baru masuk ke wad pagi tadi akibat Deconditioning Secondary to Urinary Tract Infection, hanya ditemani anak bongsunya. Keadaannya stabil ketika mula-mula masuk, cuma nampak lemah dan lupa. Beliau sememangnya mempunyai pelbagai penyakit sebelum itu – darah tinggi, kencing manis, malah memakai pacemaker untuk complete heart block yang dialaminya 10 tahun dulu.

Arahan Do Not Resuscitate (DNR), tidak pula dibincangkan ketika itu, tidak sangka pula keadaan boleh sampai teruk begini dalam masa yang singkat.

Selalunya, jika keadaan pesakit sangat kritikal, apatah lagi orang tua yang sangat berumur, dalam sesetengah keadaan, para doktor akan berbincang dengan ahli keluarga, jika tiba-tiba jantungnya berhenti – adakah keluarga izinkan kita melakukan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) ke atas pesakit atau pun biarkan pesakit pergi dengan tenang. Ini kerana, dari sudut pertimbangan perubatan, CPR dalam keadaan tersebut mungkin tidak akan memberi manfaat kepadanya – jika pun denyutan jantungya kembali, keadaannya mungkin tidak seperti sediakala, kerana CPR itu sendiri mempunyai komplikasi yang pelbagai – kesakitan, patah rusuk, kecederaan kepada saluran pemakanan, pendarahan dan sebagainya. Maka persetujuan khas yang dipanggil DNR diambil.

*********************

Itulah antara isu yang menjadi dilema bukan sahaja di Malaysia, malah di bahagian lain dunia juga.

Adakah CPR patut dibuat ke atas pesakit yang sangat tua ditambah dengan mempunyai masalah kesihatan yang kronik?

Persoalannya, kenapa seorang doktor tangkas memulakan CPR ke atas pesakit apabila mendapati pesakit tidak bernafas atau jantungnya berhenti?

Sesetengah doktor dilatih untuk respon segera dalam hal kecemasan dan menyelamatkan nyawa adalah prioriti teratas. Maka kepercayaan yang tertanam ialah – mulakan CPR sesegera mungkin, kerana lagi cepat dimulakan, lagi tinggi peluang nyawa dapat diselamatkan.

Kedua, mungkin juga seorang doktor itu khuatir jika dia tidak memulakan CPR secepat mungkin, dia dikira sebagai mengabaikan tanggungjawab lalu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Walaupun tanggapan ini tidaklah salah, namun bukanlah tepat untuk setiap kes.

Dr. John Launer dari UK di dalam Postgraduate Medical Journal menulis bahawa doktor harus membezakan cara kematian yang dilalui pesakit. Katanya di UK sendiri, masih ada doktor yang diambil tindakan akibat tidak memulakan CPR kepada pesakit, dan ini mungkin menyumbang kepada kekhuatiran doktor.

Dr. Gordon Cauldwell, pakar perunding perubatan London turut mengkritik isu ini di dalam tulisan terbukanya kepada Majlis Perubatan. Beliau menyeru agar doktor memberhentikan CPR yang tidak perlu. Perlu dibezakan antara cardiac arrest yang berpunca secara tiba-tiba, seperti jatuh gaung misalnya, dengan keadan seorang pesakit yang melalui proses nazak biasa – yang keadaan kesihatannya semakin menyusut dari semasa ke semasa. Rawatan keadaan sebegini adalah dengan memberikan keselesaan kepada pesakit untuk menghadapi hari-hari terakhirnya.

Apa kata anda? Setujukah anda dengan pandangan mereka?

 

Rujukan : https://www.irishtimes.com/life-and-style/health-family/stop-the-barbaric-practice-of-using-cpr-on-the-very-old-1.3026488

Gambar : https://www.linkedin.com/pulse/drsabcd-you-need-know-what-means-jude-barnes

“Saya senggugut doktor, boleh bagi MC?”

Pagi Nadia terganggu dengan perutnya yang memulas kuat. Hari ini hari ketiga haidnya.

“Senggugut lagi,” getus hatinya.

2 biji Paracetamol yang ditelan memang tak memberi kesan langsung. Walaupun sudah bersiap dan sedang memandu ke tempat kerja, Nadia merasakan dia memang tidak mampu meneruskan perjalanan ke pejabat. Diambil selekoh untuk ke klinik kesihatan terdekat.

Setelah 1 jam menunggu, nombor gilirannya dipanggil masuk.

“Ok, ini ubat tahan sakit, boleh ambil di farmasi,” Dr. Akram menamatkan bicaranya setelah 10 minit mengambil history dan melakukan pemeriksaan ke atas Nadia.

“Boleh saya dapatkan MC hari ini?” tanya Nadia lembut kepada Dr. Akram, mengharapkan beliau memberikan MC.

Pemeriksaan semuanya normal, tekanan darah dan nadi juga stabil. Tapi kelihatannya sakit itu tidak tertahan.

Situasi begini bukanlah situasi asing di klinik dan jabatan kecemasan hospital. Sebagai seorang doktor, pastinya kita akan simpati kepada pesakit, namun tidaklah sampai kita mahu memeriksa bahagian sulit pesakit untuk pastikan pesakit tidak menipu. Ada juga cadangan agar dibuat ujian air kencing kepada pesakit, jika benar ada darah haid, boleh dilihat dalam ujian tersebut. Namun sesetengah wanita senggugutnya datang sebelum haid.

 

*************

Tahukah anda, di sesetengah negara di dunia ini, mereka mempunyai undang-undang yang membenarkan wanita mengambil cuti bergaji untuk sakit senggugut?

Jepun, Taiwan, Indonesia dan Korea Selatan adalah antara negara-negara tersebut.

Walaupun cadangan ini nampak memberi kelebihan dan belas ihsan kepada wanita, namun sesetengah pihak mempertikaikannya, misalnya Emily Martin dari National Women’s Law Center di AS, khuatir masyarakat akan melihat haid sebagai suatu kecacatan pula kepada wanita sehingga menyebabkan mereka tidak boleh berfungsi dalam masyarakat.

Ketidakhadiran kaum wanita akan menjadikan mereka berkemungkinan ketinggalan dalam membuat keputusan-keputusan penting syarikat dan jabatan.

Walaubagaimanapun, satu kajian pada tahun 2012 dijalankan menunjukkan 20% wanita mendapati senggugut sangat menyakitkan sehingga mengganggu tugas harian mereka.

Apa kata anda pula? Adakah anda rasa polisi memberi cuti khas ini juga harus dilaksanakan di Malaysia?

 

Rujukan : https://www.nytimes.com/2017/07/24/health/period-pain-paid-time-off-policy.html

Munchausen Syndrome : “Sakit” yang Tidak Sakit.

“Pakcik ni datang lagi hari ni? Ni dah masuk hari ke 7 berturut-turut datang kecemasan. Complaint of chest pain lagi ke?” tanya Dr. Kamal kepada Medical Assistant (MA) dari triage yang menolak lelaki lewat 40-an itu di atas kerusi roda.

“Ya doktor. Heavy in nature, pain score 7/10, vitals stable,” jawab MA itu tadi.

Setiap hari selama seminggu ini En. Lau akan datang ke kecemasan, berbeza-beza waktu dan mengadu sakit dada. Ciri-ciri sakitnya itu sama sahaja. Rakan-rakan Medical Officer lain turut mengaku bahawa sebelum ini kira-kira sebulan lepas juga En. Lau pernah datang dengan sakit dada. Namun ketika itu, ECG dibuat memang ada tanda-tanda Acute Coronary Syndrome dan ujian darah Torponin I juga turut meningkat. Memang dimasukkan ke hospital, dan memang sudah ada temujanji untuk klinik cardiology.

Namun hari ini, ECG yang dibuat tidak ada apa-apa tanda bahaya. Beberapa hari lalu datang, IV Ranitidine juga sudah diberi, ketika itu dirawat sebagai acute dyspepsia, dan surat rujukan kepada klinik pakar bedah untuk temujanji endoscopy juga sudah diberi.

“Apa yang buat pakcik ini datang lagi hari ini?” Dr. Kamal bermonolog sendirian.

****************

Kinik kesihatan hari ini sibuk seperti biasa. Dengan berpuluh-puluh temujanji pesakit, pelbagai drama dan aduan dari makcik dan pakcik yang datang sekali 4 ke 5 bulan ini. Di bilik 5, Dr. Mariah duduk di atas kerusinya, sambil membelek kad pesakit yang baru sampai.

“Siti binti Yunus,” Dr. Mariah memanggil nama pesakit dengan nyaring setelah berkali-kali menekan nombor giliran tidak muncul-muncul.

“Selamat pagi cik. Ya, kenapa datang hari ini?” Dr. Mariah memulakan perbualannya seperti biasa.

“Selamat pagi doktor.” pesakit tersebut berhenti menarik nafas. “Macam ini doktor, saya datang hari ini sebab saya rasa tak sedap perut. Sakit sangat. Pedih. Lepas itu merebak ke belakang. Kemudian mula datang sesak nafas. Sekarang pun masih ada sesak nafas.”

Dr. Mariah mendengar dengan teliti. Dibelek-beleknya kad pesakit itu, boleh dilihat rekod lawatan pesakit itu sebelum ini. Sekali seminggu mesti datang. Mengadu perkara yang sama, sakit perut. Rujukan ke pakar pembedahan sudah dibuat, laporan endoskopi sebulan lepas menyatakan semuanya normal. Scan ultrasound dan xray perut juga semua normal, ujian darah juga tidak menunjukkan apa-apa.

“Mak saya dulu ada kanser. Meninggal sebab kanser lah. Saya risau juga saya ada kanser.”

Segala ubat-ubatan canggih telah diberikan, namun katanya tiada kesan.

“Boleh ke buat CT scan atau MRI pula doktor?” Siti tanya memujuk Dr. Mariah agar merujuknya sekali lagi kepada pakar radiologi untuk buat siasatan yang tak perlu.

*****************

Sebagai doktor, kadang kala kita akan jumpa pesakit sebegini. Mengadu macam-macam sakit, aduannya sama, kerap sekali datang berjumpa kita. Kita buat segala ujian yang diperlukan, ternyata segalanya normal, tidak ada yang patut dirisaukan, tapi dia tetap mahu mendapatkan rawatan.

Mendapatkan rawatan sudah jadi satu ketagihan dan kemahuannya.

Pesakit seperti ini mungkin menghidap penyakit yang kita katakan sebagai Munchausen Syndrome.

Ianya adalah satu masalah kesihatan mental yang menyifatkan seseorang itu kerapkali mahu mendapatkan rawatan atau berjumpa doktor dan mengadu masalah kesihatan walaupun tiada apa-apa penyakit yang dihidapinya.

Antara tanda-tanda lain yang perlu dilihat :

  1. Pesakit mempunyai rekod kesihatan yang panjang dan adakalanya rumit dan telah bertemu dengan pelbagai doktor dari pelbagai tempat.
  2. Pesakit juga boleh jadi seseorang yang tahu istilah-istilah perubatan dan penyakit, menyebutnya dengan yakin menyebabkan sesetengah perawat mempercayainya.
  3. Pesakit mungkin memang mempunyai masalah kesihatan serius suatu masa dahulu atau pun ahli keluarga terdekat mempunyai masalah kesihatan serius.
  4. Menurut kajian, antara sebab pesakit kerapkali mahukan rawatan adalah kerana di dunia realiti, mungkin pesakit pernah mengalami trauma ataupun tidak dihargai, lalu menerima rawatan di klinik atau hospital menjadikan pesakit lebih diberikan perhatian dan dihargai. Mungkin juga pesakit lebih rasa selamat.

Bagi perawat kesihatan, jika memang segala punca kepada aduannya didapati tidak mempunyai asas dan bukti yang kukuh, maka Munchausen Syndrome boleh dipertimbangkan dan haruslah mendapat nasihat dari pakar psikiatri.

Namun, anda juga harus berani untuk mengorek dengan lebih mendalam, kerana boleh jadi pesakit mempunyai isu sosial lain seperti dibuli atau dicederakan atau mengalami masalah keganasan rumahtangga atau kemurungan yang menyebabkan dia mencari perlindungan di klinik dan hospital tetapi tidak cukup berani untuk memberitahu anda.

Tapi kalau pesakit mengadu demam tetapi suhu tidak tinggi, selsema dan buat-buat batuk, umurnya masih muda, anda mungkin perlu mempertimbangkan satu lagi sindrom baru- Sindrom Minta MC.

“Pakcik, HbA1c pakcik tinggi”

Sebagai seorang doktor terutama di klinik kesihatan, adalah sudah menjadi rutin untuk bertemu dengan pesakit yang menghidap kencing manis.

Seringkali itu juga kami perlu memaklumkan tentang keputusan darah terkini, antara keputusan tersebut termasuklah HbA1c.

Namun menerangkan apa itu HbA1c dan kenapa bacaan HbA1c itu penting kepada pesakit bukanlah usaha yang mudah juga sebenarnya.

Apa yang selalu diberitahu ialah HbA1c menunjukkan kawalan gula makcik/pakcik di rumah, sama ada gula terkawal atau pun tidak.

1) Jadi apa sebenarnya HbA1c?

Di dalam sel darah merah kita, adanya protein yang dipanggil sebagai hemoglobin. Hemoglobin inilah yang berfungsi membawa oksigen dalam darah. Selain itu, hemoglobin ini juga menyerap molekul glukos yang berada dalam darah lalu membentuk sejenis hemoglobin lain yang dipanggil glycated hemoglobin (hemoglobin yang berglukos/bergula), atau nama lainnya turut dipanggil sebagai HbA1c. Jika paras gula dalam darah tinggi, maka lebih tinggi peratusan HbA1c yang akan dihasilkan.

 

2) Apakah paras normal HbA1c?

HbA1c dalam manusia sihat berjumlah kurang dari 6.5% dari keseluruhan hemoglobin. Apabila parasnya melebihi 6.5%, ini menandakan paras glukos (gula) dalam darah seseorang itu lebih tinggi dari biasa.

 

3) Kenapa HbA1c digunakan bagi menentukan kawalan gula seseorang baik atau tidak?

Apabila gula sudah melekat pada hemoglobin, tindakbalas ini adalah kekal, HbA1c akan kekal bentuknya dan tak boleh diubah kembali. Oleh kerana HbA1c ini berada dalam sel darah merah, hanya apabila jangka hayat sel darah merah berakhir; iaitu kira-kira selama 120 hari, maka barulah HbA1c akan musnah bersamanya. Sel darah merah baru akan dihasilkan selepas itu dan hemoglobin yang baru juga akan mengambil tempat dan akan bertindakbalas dengan paras gula dalam darah ketika tempoh yang baru itu pula.

Maka sepanjang 120 hari jangka hayat sel darah merah itu, paras gula yang berada dalam darah akan memberi impak kepada pembentukan HbA1c. Jika sepanjang 3-4 bulan itu paras gulanya tinggi, maka lebih tinggilah jumlah HbA1c dalam darah.

 

4) Bacaan HbA1c memberi petunjuk apa?

Oleh kerana ada sebahagian sel darah merah yang mungkin akan hancur dan mati lebih awal dari 120 hari, maka paras HbA1c dikira sah untuk menunjukkan purata kawalan gula dalam masa sekurang-kurangnya 3 bulan. Apa yang anda makan, minum, senaman yang anda lakukan, ubat yang anda ambil, semua itu akan memberi impak kepada paras gula dalam tempoh 3 bulan tersebut lalu seterusnya memberi kesan kepada paras HbA1c dalam darah.

Sebagai doktor yang merawat anda, kami akan tahu jika HbA1c anda tinggi, gula anda sebenarnya tidak dikawal dengan baik di rumah, sekaligus menandakan beberapa kebarangkalian- ubat yang ada tidak mencukupi, anda tidak makan ubat dengan baik, atau anda tidak berdisiplin menjaga pemakanan, atau ubat yang diberi tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Oleh sebab itu, dengan melihat kepada HbA1c, kami perlu mengubah/meningkatkan rawatan kepada pesakit.

 

5) Bolehkah kita mengetahui berapakah paras gula harian seseorang itu dengan melihat kepada keputusan HbA1c nya?

Walaupun kaedah ini agak kontroversi dan dipertikaikan oleh sesetengah pihak, namun sesetengah organisasi seperti American Diabetes Association menggunapakai kaedah ini. Kaedah ini juga sebenarnya lebih mudah untuk digambarkan kepada pesakit betapa teruk/elok kawalan gula mereka di rumah.

Kaedah kiraan ini dipanggil sebagai estimated average Glucose (eAG)- anggaran purata glukos.

eAG(mg/dl) = 28.7 × A1C − 46.7
eAG(mmol/l) = 1.59 × A1C − 2.59

 

sumber gambar : edinburghdiabetes

Di Malaysia, kita menggunakan unit % untuk HbA1c. Jadi, jika HbA1c anda 9, paras gula harian anda dianggarkan sebanyak 11.8mmol/L. Sangat tinggi dan tak terkawal.

Semakin tinggi bacaan HbA1c, semakin tinggi untuk anda mendapat risiko penyakit jantung, kegagalan buah pinggang, strok dan juga diabetic foot.

Kesimpulannya, HbA1c menunjukkan sejauh mana kawalan gula dalam darah dalam jangka masa panjang. Ianya tidak terkesan jika anda berpuasa atau tidak pada hari mengambil darah.

Anjing Gila – 8 Perkara yang Anda Perlu Tahu Pasal Rabies

Baru-baru ini muncul kembali penyakit anjing gila atau rabies, dan yang menyedihkan, ianya telah mengorbankan beberapa orang kanak-kanak di Sarawak.

Tahukah anda, Malaysia sebenarnya pernah dikategorikan sebagai bebas rabies untuk beberapa tahun sehinggalah pada 2015, wabak Rabies kembali menular, bermula di Perlis, Kedah dan seterusnya Pulau Pinang. Terbaru di Sarawak dan juga di Kuala Sepetang, Perak.

Jadi kalau pernah bersih dari Rabies, macam mana boleh muncul kembali? Ini kerana walaupun Malaysia bebas dari Rabies, tapi negara-negara jiran kita tidak. Misalnya di Sarawak baru-baru ini, disyaki anjing yang dijangkiti rabies datang daripada Kalimantan, Indonesia. Sebagai anjing, tentulah pergerakan mereka melalui sempadan tidak dikawal. Mereka tidak perlu melalui imigresen.

1) Apa punca rabies?
Rabies adalah virus yang asalnya daripada mamalia liar. Ianya tersebar melalui air liur haiwan dan memasuki darah manusia melalui gigitan.

2) Binatang apa yang membawa Rabies?
99% jangkitan Rabies kepada manusia adalah daripada anjing. Namun terdapat juga kes yang melibatkan haiwan lain seperti monyet, kelawar mahupun kucing.

3) Boleh mati tak bila kena Rabies?
Apabila simptom sudah ada, risiko kematian adalah 100%. Namun berita baiknya ialah Rabies boleh dicegah 100% dengan vaksin.

4) Apa tanda-tanda Rabies?
Incubation period (tempoh dari mula virus masuk sehingga simptom muncul) boleh jadi dari 1 minggu ke 1 tahun. Selalunya dari 1-3 bulan. Bermaksud anda mungkin tidak ada apa-apa simptom selama tempoh tersebut.
Rabies merebak melalui saraf dan akan sampai ke otak akhirnya.
Simptom-simptom awal adalah demam dan kesakitan pada tempat luka. Simptom-simptom yang lebih bahaya adalah seperti susah menelan, air liur banyak keluar, lumpuh, berkelakuan ganas dan juga takut kepada air. Kematian selalunya adalah disebabkan kegagalan sistem pernafasan.

5) Apa kena buat jika digigit anjing/haiwan disyaki Rabies?
Tidak kira sama ada anjing tersebut peliharaan anda atau pun liar, segeralah ke klinik untuk mendapat rawatan doktor. Cuci luka dengan air dan sabun. Doktor akan memeriksa luka anda dan jika perlu, anda akan dirujuk kepada hospital berdekatan untuk vaksinisasi.

6) Apa rawatan untuk Rabies?
Apabila virus sudah mula merebak dan simptom sudah muncul, tidak ada rawatan. Namun, Rabies boleh dielakkan dengan vaksinisasi. Sama ada vaksinisasi sebelum terdedah (pre-exposure) atau pun selepas terdedah (post-exposure).

Di Malaysia kita tidak ada pre-exposure vaccination. Yang kita praktikkan ialah post-exposure vaccination, iaitu vaksin akan diberi kepada mereka yang telah digigit anjing atau haiwan Rabies/disyaki Rabies. Vaksin ini berkesan untuk mengelakkan jangkitan berlaku. Jika anda anti-vaksin, kami ucapkan selamat maju jaya.

7) Sebagai pemilik haiwan, apa saya perlu buat untuk elakkan Rabies?
Pastikan haiwan anda mendapat vaksinisasi Rabies. Elakkan dari membiarkan haiwan anda berkeliaran di luar rumah tanpa pengawasan. Jika ada tanda-tanda yang pelik seperti haiwan anda lebih agresif dari biasa, lumpuh dan lemah, takut air, maklumkan segera kepada pejabat veterinar terdekat.

8) Jika haiwan disyaki dijangkiti Rabies, apa yang akan dilakukan kepada haiwan tersebut?
Haiwan tersebut akan ditangkap dan dipantau selama 14 hari. Jika ada tanda-tanda jangkitan Rabies, sampel otak haiwan tersebut akan dianalisis. Jika kawasan tersebut dikategorikan sebagai wabak Rabies, anjing-anjing liar yang ada tanda-tanda Rabies akan dilupuskan.

Bila difikirkan, mungkin ini antara hikmahnya Islam menyarankan agar bekas jilatan anjing dibasuh berkali-kali dan melarang membela anjing di dalam rumah kecuali atas tujuan berjaga/memburu.

 

 

 

Tidak Cukup Islamkah Perubatan Moden Hari Ini?

“Pakcik nak cuba perubatan islam pula,”

Ungkapan seperti ini biasa didengari hari ini oleh pengamal perubatan atau staf kesihatan apabila kita bertanya pesakit. Ada sesetengahnya tidak mahu dirawat di klinik/hospital dan tidak mahu mengambil rawatan atau ubatan yang diberi atas alasan mengambil rawatan Islam di luar.

Bila dilihat sekali lalu, seolah-olah ada kontradiksi besar antara perubatan moden dan perubatan Islam. Seolah-olah perubatan moden ini bukan perubatan Islam.

Betulkah begitu?

Yang lebih menyedihkan, pengamal-pengamal perubatan alternatif ini menggunakan nama “Islam” untuk melakukan produk yang hakikatnya menyebabkan lebih mudarat kepada pesakit.

Baru-baru ini, Agensi Regulatori Farmasi Negara Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan senarai produk terlarang yang ada di pasaran. Salah satu produk tersebut dilabelkan sebagai At-Taqwa, tetapi menyedihkan terdapat kandungan steroid di dalamnya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kita kena korek dalam sikit isu ini. Kembali kepada asal. Apa yang kita faham dengan perubatan Islam?

Oleh kerana perubatan dan merawat itu adalah bukan perkara ghaib dan bukan perkara ibadat khusus, maka kaedah fiqh menyebut :

الأصل في الأشياء الإباحة والأصل في العبادة التحريم

Bermaksud : Asal kepada sesuatu adalah harus, maka asal kepada ibadat adalah haram.

Huraian daripada kaedah ini ialah, apa-apa sahaja perkara keduniaan, hukum asal tentang kewujudannya adalah diharuskan. Contohnya, makan, minum, berpakaian, berkenderaan, semua itu adalah harus sehinggalah ada dalil yang mengehadkan perkara itu yang menjadikannya makruh atau pun haram.

Manakala asal kepada ibadat adalah haram. bermaksud ibadat tidak boleh direka-reka oleh mana-mana manusia tetapi ibadat asalnya perlulah ada dalil daripada Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

Maka berdasarkan kaedah ini, perubatan itu jatuh di dalam kategori “asal kepada sesuatu adalah harus”.

Apabila dikonotasikan dan dikaitkan perubatan itu dengan Islam, apakah maksudnya pula?

Apa yang difahami ialah, apa-apa sahaja kaedah rawatan yang dibenarkan dan disarankan oleh Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

Jadi mari kita jenguk sebentar, apakah saranan-saranan Al-Quran dan Hadis tentang merawat? Dan adakah saranan-saranan ini bertentangan dengan perubatan moden atau sebenarnya sangat hampir dan selari dengan perubatan moden?

1) Allah menukilkan dalam Al-Quran tentang perkataan Nabi Ibrahim a.s., yang bermaksud :

Dan apabila aku sakit. Dialah (Allah) yang menyembuhkanku

(As-Syuara’ : 80)

Orang yang merawat haruslah meyakini sejauh mana kita usaha, Allah jualah yang menyembuhkan.

2) Allah juga melarang kita untuk membinasakan diri kita sendiri. Allah berfirman :

“Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Tidakkah ini sama konsepnya dengan ikrar doktor yang kita laungkan pada hari ini? “Primum non nocere” atau dalam bahasa inggerisnya, “First, do no harm”?

3)  Allah menyatakan betapa tingginya harga nyawa seorang manusia, sehingga disebut dalam Al-Quran jika satu nyawa itu diselamatkan, maka seolah-olah nyawa sekalian manusia telah diselamatkan.

Allah menyatakan dalam Surah Al-Maidah, ayat ke-32 :

مِنۡ أَجۡلِ ذَٲلِكَ ڪَتَبۡنَا عَلَىٰ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ أَنَّهُ ۥ مَن قَتَلَ نَفۡسَۢا بِغَيۡرِ نَفۡسٍ أَوۡ فَسَادٍ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَڪَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعً۬ا وَمَنۡ أَحۡيَاهَا فَڪَأَنَّمَآ أَحۡيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعً۬ا‌ۚ وَلَقَدۡ جَآءَتۡهُمۡ رُسُلُنَا بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرً۬ا مِّنۡهُم بَعۡدَ ذَٲلِكَ فِى ٱلۡأَرۡضِ لَمُسۡرِفُونَ

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.

Bayangkan dalam kemajuan dunia perubatan ini, tidak kiralah sama ada teknologi itu dicipta oleh barat, timur, muslim atau bukan muslim, dengan izin Allah, berapa banyak nyawa yang telah diselamatkan, berapa banyak penyakit yang telah berjaya dirawat dengan sempurna? Berapa banyak bayi yang telah selamat dilahirkan tanpa komplikasi?

4) Allah juga menyebut di dalam Al-Quran, dalam surah An-Nahl ayat 43, agar kita bertanya kepada yang pakar dan ahli dalam bidang tertentu, jika kita tidak tahu.

فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui”

Memang inilah konsep yang diamalkan dalam dunia perubatan pada hari ini. Jika seorang doktor tidak tahu, maka dia akan merujuk doktor yang lebih pakar. Jika tidak dapat merawat, maka dia akan merujuk kepada jabatan yang boleh merawat, yang mempunyai kepakaran dalam penyakit tersebut.

5) Nabi S.A.W. menyebut bahawa sebaik-baik manusia adalah yang memanfaatkan manusia lain.

عن جابر قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : الْمُؤْمِنُ آَلِفٌ مَأْلُوفٌ وَلَا خَيْرَ فِيمَنْ لَا يَأْلَفُ وَلَا يُؤْلَفُ وَخَيْر النَاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَاسِ

Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah saw bersabda,’Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Riwayat Daruquthni)

Bayangkan, ibu yang mengandung dan sakit beranak, kita bantu dia lahirkan anaknya, dan kini bertambah ahli keluarga. Ayah yang sakit kaki, kini sudah mampu berkerja mencari nafkah menyuapkan anak dan isteri. Anak kecil yang demam, kini sudah reda dan menghilangkan kegusaran di wajah ibu. Berapa banyakkah sudah senyuman yang terukir? Tidakkah itu memanfaatkan manusia?

 

6) Nabi S.A.W. juga menggalakkan umat Islam membuat inovasi yang memberi manfaat kepada manusia sejagat.

Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W. bersabda :

مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. (Riwayat Muslim)

Menurut pandangan Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, sunnah hasanah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah inovasi, pembaharuan dan reka cipta bagi memanfaatkan tamadun manusia keseluruhannya.

Seperti yang disebutkan tadi, pada hari ini, kemajuan teknologi perubatan amat terkehadapan berbanding dahulu. Dan hari ini juga, para saintis dan doktor-doktor perubatan sentiasa mencari solusi dari sehari ke sehari untuk setiap penyakit. Bayangkan jika ubat kepada sesuatu penyakit itu dijumpai dan digunakan oleh doktor-doktor di seluruh dunia, tidakkan perekanya mendapat pahala yang besar?

 

7) Nabi Muhammad S.A.W juga di dalam sebuah hadis, menggalakkan manusia untuk berubat, dan menyatakan bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya.

“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

 

8) Nabi muhammad S.A.W. juga dalam peristiwa tertentu yang berkait dengan perkara keduniaan, mengakui dan mengiktiraf tentang kepakaran orang lain. Sebagai contoh, dalam peristiwa mengahwinkan pokok kurma yang dilakukan oleh para sahabat.

Nabi S.A.W. pernah melewati suatu kaum yang sedang mengahwinkan pohon kurma lalu baginda bersabda: “Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik”.  Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak. Hingga suatu saat Nabi S.A.W. melewati mereka lagi dan melihat hal itu baginda bertanya: ‘Ada apa dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah engkau telah mengatakan hal ini dan hal itu?  Baginda lalu bersabda: ‘Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian’

(HR Muslim)

Malah, baginda S.A.W. juga mengubah lokasi perang Badar atas cadangan seorang sahabat yang bernama Hubbab bin Munzir.

Jadi, jika anda sakit kencing manis, darah tinggi, anda jumpa doktor atau tukang baiki kereta? Jika anda patah tulang, anda jumpa pakar bedah tulang atau bomoh? Anda ikut saranan Nabi S.A.W. atau ikut hawa nafsu?

9) Pada hayat Nabi Muhammad S.A.W, terdapat seorang pengamal perubatan bernama Al-Harith ibn Kaladah. Ibn Hajar Al-Asqalani menyebutkan bahawa Nabi S.A.W. menyarankan agar para sahabat mendapatkan rawatan daripada beliau.

Ini mengisyaratkan bahawasanya Nabi S.A.W. juga menyarankan agar masyarakat pada zamannya merujuk kepada pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan.

10) Memang benar ada hadis-hadis sahih tentang sesetengah bahan dan rawatan yang digunakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Namun, menurut Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Imam Ibn Qayyim yang menulis kitab Tibb Nabawi berpandangan bahawa perubatan Nabi S.A.W. bukanlah saranan untuk masyarakat umum keseluruhannya, tetapi lebih spesifik kepada masa dan lokasi tertentu.

11) Salah satu peristiwa penting dan terkenal yang terjadi ketika pemerintahan Saidina Umar r.a. ialah kejadian taun di negeri Syam. Saidina Umar r.a. pada mulanya bercadang untuk masuk ke negeri Syam untuk bertemu Abu Ubaidah r.a. Namun setelah peristiwa taun ini berlaku, beliau meminta untuk bertemu di luar negeri Syam. Lalu beliau menyebutkan hadis Nabi S.A.W.,

“Jika kamu mendengarnya (taun) di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar lari daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini selari dengan konsep isolation atau quarantine yang diamalkan dalam dunia perubatan pada hari ini.

Malahan, kita saksikan, para sahabat yang mendapat pengajaran secara terus daripada Nabi S.A.W. , dalam peristiwa ini, mereka tidaklah pula tawakkal dan terus masuk saja ke negeri Syam dan hanya memakan habbatussauda’ atau berbekam atau makan madu walaupun perkara-perakara itu memang ada dalilnya. Ini kerana mereka memahami kaedah-kaedah yang disebut itu adalah spesifik untuk keadaan-keadaan tertentu sahaja.

Jadi, rumusannya, mari kita bertanya kembali kepada diri kita sendiri. Adakah perubatan moden yang diamalkan hari ini bertentangan dengan Islam atau amat rapat dengan Islam?

 

“Tak Vaksin, Tak Boleh Masuk Sekolah”

Kalau anda enggan memberikan vaksin kepada anak anda, anak anda akan dihalang daripada mendapat akses pendidikan tadika dan pra-sekolah.

Ya, itulah yang bakal berlaku di Australia, apabila Perdana Menterinya Malcolm Turnbull menyeru agar undang-undang digubal bagi menghalang anak-anak yang tidak divaksin daripada masuk ke pusat pendidikan awal kanak-kanak.

Malah, menurutnya, “Ini bukan sekadar pelaksanaan teori semata-mata, tetapi ini adalah antara hidup dan mati,” dan turut mengaitkan dengan kes bayi yang mati akibat batuk kokol di Australia.

“Bila seorang ibu atau bapa berkata dia tidak mahu vaksinkan anaknya, dia bukan sekadar meletakkan anaknya seorang sahaja berisiko, tetapi turut mendedahkan risiko tersebut kepada anak-anak orang lain,” tambah beliau.

Sekurang-kurangnya 3 negeri di Australia, Queensland, New South Wales dan Victoria telah menguatkuasakan undang-undang agar anak-anak perlu divaksinkan dahulu jika mahu menyertai pusat jagaan anak-anak.

Bagaimana kita di Malaysia? Rasanya patut juga buat begini.

Sumber : http://www.bbc.com/news/world-australia-39251585?ocid=socialflow_twitter

“Doktor asyik guna handphone saja”

Baru-baru ini di hospital admin, kecoh sebab ada seorang waris pesakit tangkap gambar doktor yang sedang merawat tengah menggunakan telefon bimbit dan waris pesakit itu viralkan di facebook.

Disebabkan isu ini pun dah selesai dan dia dah padamkan balik post itu, kami tak mahu share screenshot post dia tu.

Tapi maksud dari tulisan dia lebih kurang begini, “Sekarang ini di hospital, doktor tak tengok pesakit tapi asyik tengok handphone saja. Mak saya sakit, tunggu lama tapi doktor asyik tekan handphone dan bersembang”.

Jadi kami mahu kongsikan di sini kepada masyarakat awam kenapa sebenarnya telefon bimbit itu perlu bagi seorang doktor.

Saya rasa kita semua tahu sekarang kebanyakan orang guna smartphone. Smartphone ini banyak aplikasi, dan sudah tentu banyak juga aplikasi yang berkait dengan perubatan dan kesihatan.

Kami gunakan telefon bimbit kami untuk berhubung dengan doktor jabatan yang kami rujuk. Sebagai contoh, jika anda datang akibat kemalangan dan kami syak ada kepatahan tulang, maka kami akan minta dibuat xray untuk anda. Filem xray ini akan kami tangkap gambarnya melalui telefon bimbit untuk dihantar kepada doktor bahagian ortopedik. Sama juga jika anda kemalangan dan mengalami kecederaan kepala, kami akan minta untuk buat CT scan kepala anda. Jika ada pendarahan, kami perlu rujuk ke jabatan pembedahan neuro (neurosurgery), dan kami akan hantar gambar CT scan melalui whatsapp kepada doktor yang dirujuk. Kami bukan guna whatsapp untuk mengutuk atau bergosip atau mengorat atau mencarut seperti sesetengah masyarakat buat. Kami guna untuk selamatkan nyawa anda.

Kami juga guna telefon bimbit untuk melakukan kira-kira sama ada menggunakan calculator atau aplikasi khas pengiraan score tertentu bagi penyakit tertentu. Contohnya jika anda mengalami paras gula yang tinggi dalam badan, kami perlu melakukan pengiraan menggunakan formula tertentu untuk menentukan sama ada anda mengalami Hyperosmolar Hyperglycemic State yang jika tidak dirawat dengan betul, boleh mengancam nyawa anda.

Kami juga menggunakan telefon bimbit untuk mencari di laman web tentang sesetengah penyakit yang mungkin jarang-jarang ditemui, dan bagaimana untuk merawatnya berdasarkan guideline dan bukti perubatan terkini. Kami juga menggunakan telefon bimbit untuk membaca Clinical Practice Guideline (CPG) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi merujuk secara tepat tentang rawatan terkini sesetengah penyakit agar kami tahu apa yang kami buat adalah betul berdasarkan bukti terkini.

Jadi kesimpulannya, banyak gunanya telefon bimbit untuk seorang doktor. Bila doktor tengah pegang dan guna telefon bimbit itu, janganlah cepat sangat buruk sangka. Kami bukan guna untuk main candy crush atau pokemon go. Pergi tandas pun kena curi-curi masa.

 

Jabatan Kecemasan Bukan Drive-Thru McD

 

Pukul 2.30 pagi.

Aku dan kawan aku jaga bahagian Green Zone di Jabatan Kecemasan. Zon pesakit yang tak kritikal. Tengok pesakit yang boleh berjalan, yang tak berapa serius. Tengok pesakit dalam bilik, ada meja, ada kerusi, macam di Klinik Kesihatan.

Tiba-tiba masuk seorang perempuan umur dalam 40-an.

“Ye auntie, kenapa datang?” kawan aku mulakan perbualan.

“Ubat sudah habis. Saya mahu ambil ubat,” balasnya.

Aku yang duduk berhadapan, rasa macam tak percaya apa yang aku dengar. Aku yang tengah tengok pesakit lain, jadi tak fokus, cuba curi-curi dengar kenapa sebenarnya auntie ni datang kecemasan pukul 2-3 pagi buta ni.

Aku cuba sangka baik, mungkin ubat-ubat yang dia nak tu, ubat yang sangat-sangat perlu, dan kalau tak ambil mungkin boleh bahayakan kesiahatan dia. Contohnya warfarin, atau inhaler asthma, atau ubat suntikan insulin kencing manis.

“Saya pun tak ingat la nama ubat, tapi dia supplement la. Macam itu vitamin punya,” jelas pesakit itu lagi.

Dan lepas tu auntie telah diberikan “nasihat” yang panjang lebar dari kawan aku..

********

Pukul 4.30 pagi.

Datang seorang lelaki lingkungan awal 30-an. Aku lihat tiket, di triage, mereka tulis complaint sore throat for three days.

Aku panggilnya masuk. Segak, berjalan sihat. Tidak menunjukkan sebarang tanda lemah badan.

“Kenapa ye encik?” aku mengajukan soalan.

“Sakit tekak, tiga hari dah,” jawabnya. “Kenapa datang pagi ni?” aku bertanya cuba merungkai misteri.

“Oo, sebab saya baru habis meniaga tadi,” jawabnya spontan.

Dan pesakit itu pun diberikan “nasihat” yang panjang lebar dari aku.

 

*********

Ada pesakit yang datang dengan complaint lenguh, sengal-sengal atau sakit di sini dan di situ dan sudah sebulan menghadapinya. Bila ditanya kenapa hari ini baru datang, jawapnnya kerana ahli keluarganya masuk ke zon kuning, jadi alang-alang dia di situ, baiklah dia buat check-up sekali.

Tuan-tuan puan-puan makcik pakcik adik kakak abang-abang,

Kecemasan bukanlah tempat yang sesuka hati kita saja boleh datang. Kecemasan bukan tempat datang nak buat medical check-up macam booth di mall atau taman tasik, kecemasan bukanlah juga drive-thru McD yang 24 jam buka dan sesuka hati kita boleh datang bila-bila asalkan kita bayar RM1.

Kecemasan adalah kecemasan. Bila terjadinya sesuatu yang membahayakan nyawa atau kesihatan.

Jika kes-kes bukan kecemasan berlambak di kecemasan, maka orang yang betul-betul perlu dirawat dan perlu diberi perhatian akan mengambil masa yang lama untuk dilihat oleh doktor dan akibatnya, rawatannya akan tertangguh.

 

Jadi, fikir-fikirkanlah dan sebarkanlah.